Faizal Tahir buat persembahan di acara perbarisan kemerdekaan


Faizal Tahir membuat persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 di sini hari ini, sambutan bertemakan 'Sayangi Malaysiaku' ia diadakan di Putrajaya selepas 13 tahun. GAMBAR: RASHID MAHFOF

Penyanyi dan komposer Faizal Tahir menjadi artis lelaki pertama yang membuat persembahan di Acara Perbarisan Hari Kebangsaan yang telah diadakan di Putrajaya pagi ini.

Faizal Tahir mempersembahkan lagu berjudul Malaysia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan suami Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Alhamdulillah, terima kasih Malaysia untuk peluang sekali seumur hidup yang amat bermakna ini.



“Saya berasa rendah hati dan bangga kerana telah diberi keistimewaan untuk tampil membuat persembahan di hadapan pemimpin negara kita. Selamat Hari Kebangsaan Malaysia!” tutur Faizal Tahir ringkas menerusi sebuah kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Bertemakan Sayangi Malaysiaku, sambutan Hari Kebangsaan menyaksikan empat komponen utama perarakan yang terdiri daripada kenegaraan, ketenteraman awam, keselamatan negara dan rakyat bersepadu.

Dijangka seramai 300,000 rakyat berbilang kaum terutamanya di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang termasuk negeri-negeri lain serta pengunjung luar negara hadir bagi menunjukkan semangat kemerdekaan dengan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan acara bersejarah tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post