Sempena menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan negara, satu larian yang turut disertai artis-artis popular tanah air akan diadakan pada malam Sabtu ini.
Larian yang dianjurkan oleh Syarikat Oriental Businesslink Events & Media Sdn Bhd dengan kerjasama Permodalan Guru Malaysia serta disokong oleh Kementerian Belia Dan Sukan bertujuaj menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dalam satu acara.
Antara artis yang bakal menyertai larian ialah XPDC, Tunku Anis, Ropi, Watie Elite, Joey, Beego, Keena Mentor, Alif AF, Nas Adilla, Siraj Alsagoff, Rizal Kilauan Mas, Nas Kilauan Mas, Zarina Raja Lawak, Munir Phyne Ballers dan Abam Bocey.
Selain itu, acara tersebut akan turut dimeriahkan oleh persembahan konsert oleh Datin Alyah dan Yassin Brothers.
Namun Alyah memberitahu, dia tidak akan turut sama berlari sebaliknya akan memberi fokus kepada menghiburkan peserta selepas mereka penat berlari.
“Acara seperti ini pasti lebih seronok jika kita dapat berlari bersama keluarga. Selain untuk menjaga kesihatan ia juga dapat mengeratkan silaturahim.
“Saya percaya, bukan semua peserta mensasarkan kemenangan tetapi lebih kepada semangat kesukanan dan untuk menjaga kesihatan,” katanya yang sedang sibuk mempromosikan single Jutaan Purnama.