
Buat pertama kalinya, pelakon bertubuh sasa, Zul Ariffin melibatkan diri dalam filem bercorak komedi, Hantu Kak Limah.
Zul mengakui menimba banyak pengalaman manis dan lucu sepanjang penggambaran filem tersebut.
Katanya, untuk menghidupkan watak seorang guru silat bernama Solihin, dia mengikut segala arahan yang diberikan oleh Mamat Khalid.
"Uniknya mengenai karya Mamat Khalid, skrip itu sudah azali kelakar, jadi sebagai pelakon, saya tak perlu untuk buat lawak. Kalau filem lain, pelakon yang perlu jadi kelakar untuk hidupkan karakter komedi.
"Kalau nak tahu, apa yang dipersembahkan dalam filem berkenaan adalah mengikut apa yang dimahukan Mamat Khalid," katanya.
Berkongsi pengalaman berlakon di dalam filem ini, Zul berkata, dia berdepan dengan dua kesukaran iaitu menjayakan aksi silat dan berlakon di samping Ropie.
"Saya tidak dimaklumkan lebih awal perlu bersilat di dalam filem ini. Ketika tiba di set baru abang Mamat beritahu dia mahu saya bersilat.
"Jadi tanpa latihan apa-apa dan ikut sahaja langkah yang saya tahu. Itu yang nampak sumbang sangat.
"Lepas itu, berlakon di sisi Ropie juga sangat mencabar buat saya. Bayangkan puas saya menahan gelak kerana pandang wajah dia pun saya dah rasa nak gelak.
"Memang seronok sepanjang berlakon di dalam filem ini dan kami semua enjoy," ujarnya.
Filem HKL turut menampilkan barisan pelakon antaranya Datuk Awie, Delimawati, Allahyarham Rab Khalid, TJ Isa, Sharwani, Ropie Cecupak, Uqasha Senrose, Mus May, Erra Fazira, Jue Aziz, Sabri Yunus, Pekin Ibrahim dan Datuk Seri Vida.