
Wan Maimunah merayu kepada orang ramai agar menghentikan penyebaran berita palsu kononnya dia sudah meninggal dunia.
Dramatis terkenal, Wan Maimunah merayu kepada orang ramai agar menghentikan penyebaran berita palsu kononnya dia sudah meninggal dunia.
Wan Maimunah atau nama sebenarnya Wan Maimunah Abdul Aziz, 63, dimasukkan ke Hospital Alor Gajah sejak hari Ahad lalu akibat mengalami masalah pernafasan dan terkena jangkitan kuman di bahagian paru-paru.
“Kepada sesiapa yang suka membuat fitnah, tolonglah (hentikan penyebaran berita palsu). Bukan sahaja menyusahkan saya, malah seluruh ahli keluarga dan semua orang.
“Anak saya jauh di luar negara, kalau dia dapat tahu bagaimana? Talian telefon di hospital pun kadangkala tidak ada, jadi minta tolong janganlah suka buat fitnah begini,” rayu Wan Maimunah menerusi sebuah video hari ini.
Dalam pada itu, pelakon yang popular drama meruntun air mata itu bagaimanapun tidak marah kepada mereka yang menyebarkan berita berkenaan namun meminta agar hal seperti ini tidak berlaku lagi.
“Allah masih sayangkan saya. Saya tidak marah orang yang buat fitnah tetapi saya merayu tolong jangan buat dekat orang lain,” katanya lagi.