
Pelakon dan pengacara, Nina Nadira akur dengan takdir yang dia masih belum dikurniakan cahaya mata.
Kata Nina, dia meletakkan rezeki itu kepada ketentuan takdir dan tidak terlalu berharap.
"InsyaAllah saya dan suami tidak meletakkan harapan terlalu tinggi untuk menimang zuriat pertama.
"Meski sudah setahun, kalau dikurniakan kami terima," katanya ketika ditemui pada sesi latihan teater Tanah Akhirku di Istana Budaya, semalam.
Bercakap tentang ulang tahun perkahwinan pertama, pasangan Nina dan suami yang merupakan seorang arkitek, Ahmad Farhan Rusman, 26, memilih destinasi pulau sebagai percutian meraikan hari bahagia mereka.
"Hari tu sambut sederhana sahaja, makan malam dan mungkin lepas pementasan teater Tanah Akhirku saya bawa dia ke Pulau Redang.
"Suami seorang yang suka akan pulau, tapi dia belum pernah ke sana. Ikutkan dia rancangan nak pergi ke Bali, namun saya pujuk untuk ke sana," ujar Nina.
Nina dan Farhan mula mengenali dan bercinta ketika masing-masing melanjutkan pengajian di Deakin University, Melbourne. Pasangan ini selamat disatukan pada akhir Julai tahun lalu.
Dalam perkembangan kerjaya, Nina bakal beraksi dalam pementasan Teater Tanah Akhirku yang bakal berlangsung pada 28 Ogos sehingga 2 September 2018.