
Pernah popular menerusi drama Love You Mr. Arrogant, hakikatnya kelibat sebaris nama pelakon jelita Hanez Suraya menjadi tanda tanya peminat selepas tidak lagi muncul dalam mana-mana naskhah melainkan hanya aktif di media sosial Instagram.
Kali terakhir dia berlakon adalah pada 2013 menerusi drama tersebut yang menampilkan Zara Zya dan Azlee Khairi selaku teraju utama.
Sewaktu namanya meningkat naik menerusi watak wanita penggoda bernama Sherry, kehidupan realiti Hanez dilanda kontroversi kerana perkahwinannya bersama Romie Razin Adilha Abd Rais.
Dalam fasa bertenang kerana cemuhan yang diterima, rumah tangga yang dibina bersama suaminya Romie Razin Adilha pada 25 Mac 2015 diserikan dengan kehadiran cahaya mata sulung, Puteri Aleesya yang kini berusia dua tahun.
Selang berganti hari dan bulan, sudah empat tahun Hanez merehatkan diri daripada sebarang aktiviti lakonan.
Akui pelakon berusia 34 tahun itu, pernah timbul situasi ada yang menganggap dirinya sudah tidak berlakon gara-gara terlalu lama tidak muncul di kaca televisyen.
Jelas pelakon drama Suri itu, selama tempoh empat tahun tersebut, fokusnya terarah kepada anak dan keluarga selain menceburkan diri dalam perniagaan tudung lantas membuatkan dia sukar untuk kembali aktif dalam bidang seni.
“Tawaran sentiasa ada cuma kadangkala ia tidak bersesuaian dengan saya yang berstatus isteri orang. Ada babak yang memerlukan kemesraan berlebihan, jadi memang saya tidak boleh terima.
“Melainkan kalau produksi yang membuat tawaran itu boleh berbincang tentang babak sebegitu sama ada dibuang atau diolah, barulah saya okey untuk terima,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pengenalan ikon produk ubat gigi Aura White baru-baru ini.
Menyedari perkembangan industri sekarang yang semakin terbuka menerima pelakon wanita bertudung dengan pelbagai jenis watak termasuk antagonis, ia membuatkan Hanez teruja untuk kembali ke gelanggang lakonan.
Tidak memilih jenis watak, apa yang penting Hanez mahu jika kemunculan semulanya di kaca televisyen mampu memberi impak buat penonton.
“Sebagai seorang isteri, saya perlu pandai bawa diri dalam industri. Suami sudah tentu melarang sebab lelaki mana yang rela melihat isterinya berlakon berlebihan dengan orang lain.
“Sebab itu apa yang saya mahukan sekarang adalah lebih daripada itu. Memandangkan watak wanita bertudung sudah tidak terhad, sekali gus ia mampu membuktikan kepada peminat bahawa saya masih boleh berlakon,” katanya.
Kebimbangan melampau
Dalam tempoh empat tahun sepi tanpa sebarang publisiti drama, ada satu kisah yang dipendam rapi oleh Hanez. Siapa sangka, dalam tempoh itu dia yang pernah membintangi drama Autumn Di Hatiku itu sebenarnya sedang bertarung dengan penyakit kemurungan melampau.
Kongsi Hanez, dia mula menyedari perubahan yang berlaku pada dirinya selepas melahirkan anak sulung. Namun dek tiada tempat mengadu, dia menyimpan kemas rahsia itu seorang diri termasuk daripada suami sendiri.
“Selepas bersalin, saya tiba-tiba menjadi seorang yang paranoid terhadap semua benda di sekeliling. Makan ayam dan daging pun takut. Bimbang kalau makanan tersebut kotor dan tidak selamat dimakan.
“Sehingga satu tahap saya selidik tentangnya di laman carian Google untuk mencari kepastian. Malah yang lebih teruk, saya bertukar menjadi seorang yang suka bersendiri di dalam bilik. Kadang-kadang sampai menangis. Sebab itu badan saya jadi kurus dan cengkung kerana pola pemakanan berubah. Sampai sekarang saya hanya makan ikan dan makanan laut,” ujarnya membuka cerita.
Antara salah satu faktor tersebut berlaku kerana dia seorang yang terlalu kuat berfikir. Ia termasuklah memikirkan tentang sejarah lama berlaku dalam hidup dan kariernya yang suatu ketika dahulu pernah berada di atas, kini tiba-tiba hilang sekelip mata.
Apa yang lebih mengesankan, impak yang dialaminya bukan sekadar dari segi fizikal semata-mata. Kesihatan mentalnya adalah bahagian yang paling besar menerima kesan daripada keadaan itu.
Tidak pernah berlaku cubaan mencederakan diri, namun penderitaan pelakon drama Sedetik Cinta itu boleh dikelaskan dalam skala yang agak teruk apabila dia pernah mendengar bisikan tatkala gemar bersendirian di dalam bilik.
“Mujur tiada apa yang besar pernah berlaku kepada diri saya. Ketika saya tidak sedar bahawa diri sendiri sedang mengalami kebimbangan melampau, saya bertemu seorang ustazah. Dari situ saya banyak menyertai kelas usrah, mengaji dan ada sesi perkongsian masalah.
“Ketika saya bertemu orang dari organisasi Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental Malaysia (MIASA) pun, mereka beritahu saya ada depresi, cuma ia masih pada peringkat awal. Alhamdulillah sekarang semuanya beransur pulih. Cuma saya tidak boleh terlalu melayan dan perlu melawannya,” ujarnya yang bertarung dengan penyakit tersebut selama setahun.
Positif
Di sebalik penderitaan emosi itu, Hanez memandang setiap yang berlaku sebagai perkara yang positif. Bak kata pepatah, setiap yang terjadi pasti terselit hikmah untuk diteladani.
Kata pemilik nama penuh Hanez Suraya Abdul Aziz itu, dia selesa dengan kehidupan sekarang biarpun tanpa kerdipan populariti seperti yang pernah dilaluinya suatu waktu dahulu.
“Kalau tengok kehidupan lama saya agak sosial juga selain ada kontroversi. Namun, perkahwinan sebenarnya banyak membantu saya untuk lebih pandai mengawal diri.
“Sekarang saya sudah cukup matang dalam menentukan mana yang positif atau negatif. Alhamdulillah, kehidupan positif saya sekarang membuatkan orang ramai sudah mula kembali menerima saya dengan cara yang baik,” katanya yang enggan bergantung kepada ubat bagi mengubati penyakit tersebut.
Enggan lagi kembali ke kehidupan lama, Hanez mahu kekal dengan imej dan pembawaan diri seperti sekarang. Hal itu kerana, sekiranya berhasrat kembali aktif dalam industri, dia mahu perkara itu bukan sekadar untuk kepentingan dirinya sendiri.
Tegasnya, segala perbuatan yang dilakukan kelak turut memberi impak terhadap nama baik keluarga terutamanya suami dan anaknya.
“Pendek kata, saya perlu bawa diri dengan cara yang baharu dan positif. Apabila positif, orang akan ingat saya dan situasi itu perlu dikekalkan demi nama baik sendiri juga,” katanya menutup perbualan.
Kecintaan pelakon Hanez Suraya dalam bidang lakonan masih menebal. Cuma dalam tempoh empat tahun tidak aktif di kaca televisyen sejak 2014, dia sebenarnya sedang bertarung dengan fasa kemurungan melampau sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.