Nico G masih wujud, kini mahu bantu artis tempatan


Generasi hari ini mungkin tidak begitu mengenali kumpulan Nico. Namun sebagai rujukan, Nico merupakan antara kumpulan yang terlebih dahulu mencetuskan irama hip hop di negara kita.

Memang sudah agak lama kita tidak mendengar cerita Nico yang kini dikenali dengan Nico G. Meskipun begitu, biar pun jarang muncul di media massa namun Nico G tetap aktif dalam bidang dseni hiburan.

"Semenjak 2010 Nico G kembali bergiat aktif dalam dunia seni setelah bergabung dengan A to Z, Kool dan Shades sebagai sebuah kumpulan yang dikenali sebagai GX4 dengan single Kerana Kasihmu yang menjadi OST drama hit Vanilla Coklat.

"Kemudian Nico G telah menubuhkan Nico G Entertainment pada tahun 2013 dan sejak itu kami banyak melibatkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir seperti gubahan lagu untuk OST filem dan drama serta single untuk penyanyi tempatan termasuklah artis naungan Nico G Entertainment.

"Kami mempunyai dua single Yang diterbitkan di bawah label kami iaitu Belia Perwira dan Dunia Alam Fana yang dihasilkan sempena ulang tahun Nico G ke 25 pada 2017. Dunia Alam Fana adalah single pertama yang dihasilkan dengan konsep kerohanian sementara single Belia Perwira pada 2014 sebagai hadiah kepada peminat-peminat kembalinya Nico G secara rasmi ke industri seni," ujar Affa mewakili kumpulannya yang ditemui di majlis pelancaran kempen Gempak Merdeka di Bangi Wonderland Theme Park & Resort, pada Jumaat.





Selain Affa atau Muzaffar Shah Baharin, 40, Nico G turut dianggotai oleh Nico, 43, (Abdul Fashah Abd Aziz, 43) dan Dino, 41, (Mohd Shah Rosli).

Bercerita mengenai penglibatan Nico dengan Bangi Wonderland, ini merupakan kali kedua kerjasama dengan taman tema tersebut untuk kempen Gempak Merdeka.

"Gempak Merdeka adalah kolaborasi kedua Nico G dan Bangi Wonderland membawakan artis-artis tempatan ke taman tema tersebut untuk membuat persembahan.

"Sempena cuti sekolah dan bulan kemerdekaan ini, Nico G bertindak sebagai pengurus artis bagi showcase Gempak Merdeka menampilkan Ella, Aishah, Nabila Razali, Sufian Suhaimi, Tomok, Achey, Hazama dan Black Hanifah.

"Bangi Wonderland berhasrat menjadi taman tema yang menampilkan artis tempatan sebagai platform membuat persembahan.

"Nico G berharap usaha ini mampu membuka peluang kepada penyanyi tempatan untuk menjana pendapatan yang menguntungkan semua pihak," katanya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post