
Biarpun status kesihatan Ardell Aryana masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini, pelakon filem Surf This Love itu sering memberi gambaran dia berada dalam keadaan yang baik dengan mengemas kini laman Instagramnya menerusi perkongsian yang positif..
Ardell sebelum ini menarik perhatian ramai apabila dikatakan menghidap kanser selepas sahabat baiknya, Nadzmi Adhwa mendedahkan tentang ujian berat yang sedang dihadapinya.
Dua hari lalu, Ardell sekali lagi menjelaskan tentang keadaan dirinya bagi menjawab pelbagai soalan yang diajukan peminat dan pengikutnya di laman Instagram miliknya menerus Direct Mesagge (DM).
Salah satu soalan yang menarik perhatian Ardell ialah tentang keadaan terkini dirinya yang dikatakan seolah-olah sedang sakit teruk, dan apa yang dilakukan bila berada dalam keadaan itu.
“Ajal maut bukan di tangan kita dik, bukan sebab penyakit saja boleh meninggal. Orang sihat pun boleh meninggal, sakit biasa-biasa pun boleh meninggal.
“Janganlah tanya soalan macam ni OK. Akak tak nazak, soalan adik yang nazak sangat akak baca. Pandai-pandai saja cakap hidup tak lama,” tulisnya.
Bagaimanapun, Ardell turut berkongsi tentang pengorbanan kakaknya yang sanggup mengambil cuti kerja selama empat bulan, semata-mata untuk menjaganya di rumah, selain membantu Ardell untuk ke mana-mana.
“Saya OK saja, bukannya sakit apa sangat tapi kakak risau (saya masih ada kaki untuk berjalan OK. Itu pun kadang rasa menyusahkan, tapi apa saya perlu buat untuk tak menyusahkan orang?
“Bangkitlah. Teruskan hidup macam biasa. Keluar, kerja, buat itu buat ini...Apa yang saya rasa saya suka just do it. Kalau penat berhenti, jangan push diri. Kalau boleh just buat tanpa tapi atau nanti.
“Dah namanya dunia ni pentas ujian, maka hadapi dengan tenang . Paksa diri jadi hebat di mata orang yang sayangi kita,” luahnya jujur.