Edry bersama keluarganya di hadapan rumah mereka di Manchaster, United Kingdom.
Penyanyi dan komposer Edry Abdul Halim memberitahu empat anaknya masih belum dapat menyesuaikan diri sejak mereka berhijrah ke Manchaster, United Kingdom hampir dua minggu lalu.
Edry, 41, berkata, mereka masih menyangka pemergian ke negara Eropah itu adalah untuk bercuti dan bukannya menetap untuk jangka tempoh yang panjang.
"Alhamdulillah perpindahan kami sekeluarga dipermudahkan di Manchaster namun setakat ini anak-anak masih cuba menyesuaikan diri kerana mereka menyangka kami sedang bercuti!
"Tambahan pula sekarang masih cuti musim panas... Jadi sesi persekolahan masih belum bermula.
"Insya-Allah ada masa sedikit ini saya mahu bawa mereka bercuti di sekitar Eropah terlebih dahulu sebelum mereka bersekolah," katanya.
Edry sekeluarga berhijrah ke luar negara demi anak mereka, Emery.
Edry ditemui pada majlis tayangan perdana filem Wheely yang diadakan pada malam Rabu.
Anggota kumpulan KRU itu kembali ke ibu negara selama seminggu untuk menyiapkan rakaman bersama empat penyanyi sebelum kembali pulang ke Manchaster.
Sebelum ini Edry memberitahu dia bersama isteri, Milia Mohammed berserta empat anak mereka, Emil, Edylia, Emery dan Elya akan berhijrah ke luar negara.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan anak ketiganya, Emery yang merupakan anak autism mendapatkan pembelajaran terbaik.
Dalam pada itu, Edry memberitahu dia memilih untuk menetap di Manchaster kerana di sana terdapat sebuah sekolah khas untuk golongan autism.
Potrait keluarga Edry pada hari raya lalu.
Katanya lagi, di Manchaster juga terdapat pelbagai kemudahan untuk golongan itu termasuk pusat beli-belah dan panggung wayang khas untuk anak-anak autism.
"Sekolah untuk autism di Manchaster dan Liverpool antara yang terbaik di dunia dan sebab itu kami sekeluarga memilih untuk menetap di sana.
"Semua ini kami lakukan untuk Emery dengan harapan dia mendapat pembelajaran yang terbaik," katanya.
Tambah Edry, dia bercadang untuk menetap di negara itu selama beberapa tahun mengikut perkembangan anaknya dan jika tiada perubahan dia mungkin berpindah ke Australia pula.
"Kita lihat macam mana progres Emery dan kalau ada perkembangan positif kami akan kekal di sini dan jika sebaliknya mungkin kita ke Australia pula.
KRU mengadakan konsert terakir mereka pada 6 Mei lalu selepas mengumumkan pembubaran kumpulan itu selepas 25 tahun.
"Di sana juga mempunyai sekolah untuk autism yang antara terbaik di dunia," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Edry memberitahu dia tetap akan meneruskan kariernya seperti biasa malah sudah pun melancarkan syarikat rakaman iaitu KRU Entertainment UK Limited yang berpangkalan di Manchaster.
Kata Edry, penubuhan syarikat itu diharap dapat mencari bakat baharu dari Eropah selain memperkenalkan artis dari negara Asia ke sana.
"Saya juga akan berulang-alik ke Malaysia... Seboleh-bolehnya sekali dalam dua bulan.
"Sekiranya ada kerja perlu diselesaikan mungkin saya akan lebih kerap pulang ke sini," jelasnya.