Penyanyi, Wani menerima teguran Da'i Luqman mengenai tindakannya menari menerusi muzik video lagu terbarunya, Pendusta Cinta dengan hati terbuka.
Teguran Luqman yang juga bekas peserta program realiti Da'i musim ketiga dibuat di Instagram yang menyebut seorang penyanyi wanita popular bertudung menari dan boleh mengundang fitnah besar buat wanita lain yang bertudung.
Wani, 21, atau Nur Syazwani Selamat ditemui mendakwa gerak tari dipersembahkan dalam muzik video itu tidak keterlaluan.
"Gerak tari dalam muzik video ini biasa saja dan tidak melampau. Bagi saya, tarian ini masih sopan dan masih menutup aurat.
"Memandangkan ia lagu rancak, jadi saya yang minta untuk menari. Kalau diam saja, mesti bosan. Malah, penari wanita dalam muzik video ini pun saya minta agar mereka bertudung.
"Cuma mungkin disebabkan orang menganggap saya penyanyi nasyid, jadi mereka berasakan saya tidak manis menari," katanya.
Wani yang juga bekas peserta program Gema Gegar Vaganza musim pertama berkata, itu adalah percubaan pertama menari.
Malah, Wani ingin memberikan kelainan bagi single terbaru yang turut menampilkan Waris selaku rapper.
"Saya berlatih menari selama dua hari bagi menjayakan muzik video ini. Ketika itu, saya sudah menjangka akan dikecam.
"Namun, disebabkan ingin menampilkan kelainan dalam muzik video kali ini, saya teruskan hasrat menari. Dalam masa sama, saya mahu cabar diri buat sesuatu yang baru," katanya.
Lagu keenam Wani itu adalah ciptaan DJ Fuzz, Hez Hazmi dan Wani sementara lirik oleh DJ Fuzz, Hez Hazmi, Wani dan Waris.