Siti Elizad lantang bertempat


Nama pelakon Siti Elizad kembali bergentayangan daripada mulut ke mulut netizen baru-baru ini, selepas dia menulis status marah-marah di laman sosialnya.

Semuanya gara-gara disebabkan dia terasa dengan tindakan seorang mak cik yang menegurnya masih belum dikurniakan cahaya mata sambil memegang perut pelakon drama Dia Isteri Luar Biasa itu.

Antara butiran status yang ditulis pemilik nama sebenar Siti Elizad Mohamad Sharifuddin itu berbunyi: “Kepada mak cik-mak cik bawang, yang kepochi (kepoh) masa beraya, ini aku nak cakap sikit bagi lekat dekat kepala. Soalan di hari raya, bila nak ada anak? Bila nak buat anak? Tak ikhtiar ke? Cara tak betul ke?

“Mari sini aku nak cakap aku ni manusia biasa, jadi tiada jawapan untuk semua itu.” Menjawab mengenai kontroversi itu, kata Elizad, dia cukup terasa dengan pertanyaan tersebut kerana ia tidak bersesuaian.

Tambahan pula, memang saat ini, dia berharap dikurniakan cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga sejak tiga tahun lalu.

“Saya cukup pantang dengan soalan-soalan seperti bila mahu kahwin atau bila dikurniakan anak. Maka, apabila ada seorang mak cik menegur saya, ‘Bila nak ada baby? Tak menjadi lagi ke?’ sambil memegang perut, saya cukup terasa hati,” ujarnya kepada Sensasi Bintang ketika ditemui baru-baru ini.

Sebelum ini, pelakon cantik itu ada menulis status marah-marah di laman Twitter yang terpaksa menunggu pelakon lain selama tiga jam untuk memulakan penggambaran drama bersiri Dian.





Disoal sama ada tindakannya itu bakal menyebabkan dirinya dilabel lantang, Elizad mengakui, dia seorang yang mempunyai pendirian dan akan bersuara jika berasakan tindakannya betul.

“Saya ada pendirian dan akan cakap perkara yang betul,” jelasnya yang mendirikan rumah tangga dengan duda dua anak, Shamsul Baharin Rahman pada 11 Januari 2015.

Dalam perkembangan lain, Elizad mengakui tidak berasa gugup bergandingan dengan pelawak-pelawak dalam program Super Spontan Xtravaganza kerana seronok menimba ilmu daripada mereka.

“Saya cuma jadi diri sendiri sahaja di atas pentas. Alhamdulillah, pelawak-pelawak banyak membantu dan tidak kedekut ilmu. Saya pula memang jenis yang suka beraksi di atas pentas dan di depan kamera. Jadi, saya betul-betul enjoy menyertai program berkenaan,” ujarnya yang mewakili kumpulan Sotong Kangkung bersama Achey, Shahrol Shiro, Nizam Jentik Jentik, Tauke Jambu, Atu Zero, Izzue Islam dan selebriti media sosial, Mode.

Pada masa sama, Elizad mengakui, drama Dian bakal disiarkan di NTV7 tidak lama lagi. Menerusi drama tersebut, dia yang melakonkan watak Dian terpaksa menjalani penggambaran di dalam penjara.

Post a Comment

Previous Post Next Post