Pesona populariti Sunny Suwanmethanont


Pada tangga usia 24 tahun, dia menyifatkan keputusan menceburi kerjaya lakonan satu perkara yang sia-sia, apatah lagi tanpa sebarang pengalaman mahupun pendedahan kepada dunia kamera.

Asakan daripada agensi pencarian bakat yang tanpa henti ‘menyerangnya’ membuatkan pelakon berwajah tampan kelahiran Thailand, Sunny Suwanmethanont akhirnya tewas.

Bermula dengan naskhah Dear Dakanda pada tahun 2005, lelaki yang mesra disapa sebagai Sunny itu memulakan percaturan dalam bidang lakonan.

Nyata taruhan Sunny membuahkan hasil apabila berjaya meraih dua trofi bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik iaitu Anugerah Kom Chad Luek ketiga dan Pelakon Lelaki Utama Terbaik Anugerah Chalermthai ketiga menerusi filem tersebut. Kedua-dua kejayaan berkenaan diraih Sunny pada tahun 2006.

Sejak itu, pelakon yang kini sudah berusia 37 tahun berkenaan terus menggarap kemas langkahnya ke hadapan. Biar memulakan karier dalam separuh keterpaksaan, diam tidak diam, Sunny telah membintangi lebih lapan buah filem yang kebanyakannya pecah panggung serta terbabit dalam enam drama rantaian.

Menyelak jendela lama kehidupannya, graduan dari Universiti Assumption of Thailand dalam jurusan Seni Komunikasi itu mengaku dirinya mudah berasa bosan dengan setiap pekerjaan yang dilakukan.

“Sebaik tamat pengajian, saya berusaha mendapatkan pekerjaan dalam pelbagai sektor, namun tiada satu yang mampu bertahan lama.

Saya bernasib baik dan bertuah kerana dapat menyara hidup dengan kerjaya sebagai model dan membuat persembahan (gig) bersama kumpulan Kingkong Project,” katanya dalam satu temu bual dengan majalah Thailand mengenai latar belakang awal kariernya.

Tambah Sunny, kerjaya lakonan bukan sahaja memberi peluang buatnya menimba pengalaman berbeza tetapi ia turut membuatkannya menceburi ‘kerjaya’ yang berlainan.

“Setiap karakter yang dilakonkan memiliki personaliti dan latar belakang yang berbeza. Meskipun penonton melihat saya sebagai pelakon tetapi saya sebenarnya menjadi individu lain.

“Jadi, secara tidak langsung ia membuatkan saya berpeluang untuk menceburi kerjaya berbeza dengan hanya bergelar sebagai pelakon,” ujarnya mesra.





Petah bercerita tentang kerjaya lakonan, pada masa sama Sunny turut memberitahu, dia tidak pernah terlintas untuk menceburi kerjaya lakonan.

Pada fikirannya, dia hanya menjalankan tanggungjawab sebagai anak yang memenuhi impian kedua orang tua untuk melihatnya tamat pengajian di menara gading.

Melanjutkan cerita mengenai kedua orang tuanya, Sunny bagai membuka semula lipatan sejarah hitam yang pernah menimpanya sekeluarga.

Anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, bukan mudah untuknya menjalani kehidupan saat kedua orang tuanya jatuh muflis.

Biarpun tidak memperincikan mengenai perkara itu, namun Sunny mengatakan insiden tersebut telah membuatkan dirinya kurang meluangkan waktu bersama keluarga selain gemar memberontak.

Situasi berkenaan dirasakan bagai mendesaknya menjadi pemarah dan sukar membendung kemarahan. Disebabkan itu juga hubungannya dengan ahli keluarga yang lain renggang.

“Permasalahan yang ada sering menimbulkan perbalahan antara keluarga membuatkan saya cuba mengelak daripada berkomunikasi antara satu sama lain.

“Namun, perkara itu tidak membuatkan saya menjauhi keluarga. Setelah belajar daripada kesilapan, saya berusaha memperbaiki hubungan dan kini segalanya dalam keadaan baik. Malah, hubungan kami bertambah akrab sekarang,” jelasnya tersenyum.

Brother Of The Year
Bercerita mengenai hubungan kekeluargaan, filem terbaharu lakonannya, Brother Of The Year pasti menjentik emosi Sunny dan membuatkan dia menilai semula nilai kasih sayang antara adik-beradik.

Biarpun lapangan seni tempatan kerap disajikan dengan karya Hollywood tetapi hasil kerja dari lingkungan negara jiran turut tidak kurang hebatnya.

Memulakan tayangan di Malaysia sejak 28 Jun lalu, filem arahan Vithaya Thongyuyong itu turut membariskan pelakon Urassaya Sperbund dan Nichkhun Horvejkul.

Mempertaruhkan penyanyi dari Korea Selatan, Nichkhun yang merupakan anggota kumpulan 2PM itu menjadi antara kegilaan peminat tempatan untuk menonton filem tersebut di pawagam.

Tidak menafikan populariti Nichkhun tetapi Sunny sendiri mempunyai pengaruhnya tersendiri sementelah filem I Fine..Thank You..Love You (2014) berjaya mencuri tumpuan penonton tempatan.

Dengan nada rendah diri, Sunny merasakan popularitinya tidak setaraf Nichkhun, apatah lagi khalayak lebih mengagungkan penghibur K-Pop berbanding bintang dari negara Gajah Putih.

“Ini merupakan pertama kali saya menjejakkan kaki ke Malaysia dan tidak menyangka peminat tempatan mengenali dan menonton karya saya sebelum ini.

“Sambutan kalian amat menggalakkan dan saya akan bekerja keras pada masa akan datang,” ujarnya ketika ditemui dalam majlis sidang akhbar filem tersebut di Hotel Le Meridien, Putrajaya minggu lalu.

Tidak bergantung skrip
Melakonkan watak sebagai Sunny iaitu abang kepada Yaya (Urassaya Sperbund), kedua-duanya tiada pilihan lain selain meneruskan ikatan hubungan kekeluargaan yang sememangnya menjadi takdir mereka.

Berbeza dengan hubungan antara kekasih mahupun persahabatan yang memberi ruang untuk membuat pilihan, ikatan persaudaraan nyata tidak mampu dipisahkan.

Melakonkan watak sebagai seorang abang yang gusar akan pilihan pasangan hidup adik perempuannya, Sunny mengakui karakter tersebut semudah mengupas kacang tanah.

Bukan bermaksud riak tetapi beberapa persamaan personaliti antara watak filem tersebut dengan dirinya secara tidak langsung membantu melancarkan penggambaran.

Malah, dia juga kerap berlatih dan berusaha menterjemahkan watak sebagai mungkin tanpa perlu terlalu merujuk kepada skrip.

“Saya kerap melakukan latihan bagi mengelakkan daripada berlaku banyak kesilapan. Pengarah juga memberi ruang kepada saya untuk menterjemahkan watak mengikut gaya tersendiri dan tidak terlalu terikat dengan skrip.

“Persamaan antara saya dengan watak itu juga banyak membantu dan ia menjadi lebih mudah kerana ada kalanya seakan menjadi diri sendiri,” tutur Sunny.

Bagi Sunny, meskipun filem Brother Of The Year tergolong dalam komedi tetapi naskhah edaran GSC Movies dengan kerjasama Suraya Filem Production & Distribution itu sarat dengan mesej menghargai persaudaraan dan nilai kekeluargaan.

Filem Brother Of The Year mengisahkan tentang Sunny yang terlalu cerewet dalam memilih soal pasangan hidup adiknya, Yaya bersama Nichkhun (Nichkhun Horvejkul) iaitu seorang jejaka kacukan Jepun-Thailand.

Disebabkan bimbang akan masa depan adik perempuannya itu, Sunny nekad melakukan pelbagai helah dengan harapan agar adiknya tidak bersama Nichkhun.

Filem I Fine..Thank You..Love You pada tahun 2014 telah memperkenalkan aktor kelahiran Thailand, Sunny Suwanmethanont kepada peminat tempatan. Dia kini sekali lagi mencuri perhatian khalayak menerusi naskhah terbaharu, Brother Of The Year yang telah ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post