Nasihat Misha Omar kepada artis baharu


Sebagai artis yang berpengalaman, Misha Omar memandang populariti yang diraih oleh penyanyi baharu pada zaman sekarang sebagai peluang yang jangan disia-siakan untuk terus membina nama dalam industri.

Baru-baru ini, dunia hiburan negara dihangatkan dengan topik tentang tindakan seorang penyanyi baharu yang mengaku sedang berperang dengan depresi sehingga memberi bayangan akan berhenti daripada menyanyi.

Depresi dan tekanan perasaan bukanlah suatu hal yang boleh diambil ringan kerana ia mampu menjuruskan seseorang terhadap masalah gangguan psikologi serta mental jika tidak ditangani dengan baik.

Namun, sebagai orang lama dalam industri dan telah banyak melalui asam garam kehidupan bergelar artis, Misha Omar mempunyai pesanan kepada penyanyi muda yang melalui saat-saat sukar berdepan depresi lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan kerjaya.

Katanya, penyanyi muda pada zaman sekarang perlu mempunyai semangat yang kuat untuk mendepani cabaran yang mendatang, apatah lagi dengan kebebasan penggunaan media sosial dalam kalangan peminat.

Ikuti penjelasan daripada pelantun lagu Bunga-Bunga Cinta itu ketika ditemui pada sesi rakaman program I Can See Your Voice Malaysia di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Misha bakal muncul sebagai artis undangan dalam program itu yang disiarkan di ntv7.





KOSMO!: Peminat sedia maklum dengan berita membabitkan artis baharu yang berdepan dengan cabaran dunia seni sehingga mengalami depresi. Jadi sebagai artis senior, apa pandangan Misha tentang perkara ini?

MISHA: Saya jawab perkara ini secara umum. Kalau mahu cerita tentang jatuh bangun saya dalam industri, terlalu banyak. Saya pernah lalui pengalaman apabila lagu tidak dimainkan di radio dan pernah kalah pada pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Jadi kalau mahu cakap tentang depresi, sudah lama agaknya saya boleh jadi gila tetapi semuanya berbalik kepada diri sendiri.

Bagaimana cara kita mengawal segala cabaran yang mendatang dengan bijak. Saya selalu berpegang kepada kata-kata ibu. Dia berpesan, kalau kita rasa terpuruk, ingatlah bahawa akan ada orang yang jauh lebih teruk kehidupannya. Jadi, jangan mudah mengalah dan kata-kata itulah yang saya pegang sehingga sekarang. Bagi saya, artis zaman sekarang perlu bijak mengawal emosi dan tenang dalam menerima cabaran.

Mungkin anda mempunyai sebarang pesanan untuk penyanyi muda tersebut?

Dia penyanyi yang ada mutu, jadi sangat sayang kalau berhenti sekarang. Perjalanannya masih panjang, jangan persiakan peluang yang ada pada waktu sekarang. Kalian ada bakat dan peluang untuk menikmati momen seperti ini. Gunakan sebaik mungkin untuk memajukan diri.

Apa yang penting, dia perlu kuat semangat. Pada saat orang masih sayang dan suka inilah kita perlu lakukan yang terbaik untuk membalas sokongan peminat.

Baiklah, beralih kepada perkembangan terkini anda yang kini muncul dengan sebuah single baharu, Sampai Bila. Boleh kongsikan lanjut?

Syukur alhamdulillah, saya sangat teruja, bangga dan terharu dengan sambutan yang diterima daripada peminat dengan kehadiran single terbaharu ini. Apabila mereka memberikan respons yang menggalakkan, itu membuktikan bahawa memang benar peminat rindu untuk menunggu lagu baharu daripada saya.

Kalau lagu duet, kepuasan itu kurang kerana mereka mahu melihat saya beraksi solo. Insya-Allah, sekarang masanya untuk mempromosi lagu ini di stesen-stesen radio dan televisyen. Lebih manis, ia akan menjadi lagu tema sebuah drama baharu terbitan TV3 berjudul Jangan Benci Cintaku.

Selepas sekian lama anda kembali muncul dengan lagu baharu, mungkin ada cabarannya tersendiri?

Secara jujur, ada perasaan takut ketika masuk studio untuk merakamkan lagu ini kerana rasa tanggungjawab kepada peminat untuk memberikan yang terbaik.

Disebabkan sudah lama tidak ada lagu, jadi saya berasa ada beberapa kekurangan pada diri terutama vokal, lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak sulung, Idris sekitar tahun 2016. Atas kesedaran itu, saya mengambil inisiatif sendiri masuk kelas vokal untuk memperbaiki apa yang kurang.

Memandangkan masih dalam bulan Syawal, mungkin boleh ceritakan sedikit tentang pengalaman raya tahun ini?

Syawal kali ini sangat seronok kerana pertama kali bawa Idris pulang beraya ke Kelantan sejak dia lahir kerana saya dan suami memang mengamalkan tradisi beraya di kampung masing-masing secara bergilir-gilir dua tahun sekali.

Jadi, apabila berpeluang membawa anak beraya di kampung, secara tidak langsung saya juga seronok melihat dia mengenali orang baharu.

Post a Comment

Previous Post Next Post