Pelakon dan pengacara jelita ini berminat untuk berlakon teater atau cerita Melayu klasik pada masa akan datang sekiranya diberikan peluang.
Kata orang, jika mahu mengetahui lakonan seseorang anak seni itu berjaya meninggalkan kesan kepada penonton ataupun tidak, lihat kepada maklum balas penonton tentang drama atau filem yang dilakonkan mereka.
Jika ia mencetuskan fenomena dan menjadi bualan di media sosial, ia membuktikan mereka menggalas watak yang dipegang masing-masing dengan begitu penghayatan sekali.
Bagaimanapun, tidak dinafikan kadangkala seseorang anak seni itu terpaksa menjadi ‘mangsa’ di laman sosial dek kerana penonton yang terlalu taksub.
Begitu juga dengan salah seorang daripada dramatis yang membintangi drama berjudul Rahsia Hati Perempuan bersama Hisyam Hamid, Fikry Ibrahim dan Uqasha Senrose yang baru sahaja berakhir baru-baru ini, Mira Filzah.
Mira terkena tempias kritikan gara-gara menggalas watak sebagai Ilaina atau Ili yang didakwa sesetengah penonton sebagai seorang yang suka memporak-perandakan kehidupan orang lain dan bersikap pentingkan diri sendiri.
“Ramai juga yang tweets dan komen, mereka sangat tidak suka dekat watak yang digalas saya iaitu Ili. Ramai juga yang tak puas hati dan sebagainya.
“Buat pertama kali saya rasa kena kutuk dan penonton tak suka walaupun Mira juga adalah heroin kepada drama tersebut,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Meneruskan bicara, Mira atau nama sebenarnya, Nur Amirah Filzah Badioezaman mengakui berasa takut apabila membaca komen-komen daripada penonton.
“Bila Mira baca sendiri komen-komen dan tweet, sebenarnya Mira pun rasa takut.
“Bagaimanapun, di sebalik komen-komen negatif ini, saya percaya sudah membawa watak Ili dengan baik,” jelasnya yang tidak pernah mempunyai pengalaman dikutuk setiap kali menjayakan watak dalam sesebuah drama.
Ditanya pula, adakah Mira ‘trauma’ untuk menerima watak seperti ini selepas ini. Ini jawapan yang diberikan oleh si rupawan yang memenangi Artis Baharu MeleTOP dalam Anugerah MeleTOP Era 2016.
“Tidaklah sampai tahap trauma. Mira percaya setiap pelakon pun inginkan watak yang berbeza dari masa ke masa.
“Kalau kita berlakon dan pegang watak sama, takut penonton bosan dan rasa lakonan kita sama sahaja. Kadangkala, kalau dapat keluar daripada kotak keselesaan pun bagus juga,” ujarnya yang tidak kisah membawa watak sebegitu dan ingin cuba sekiranya diberi peluang memegang watak antagonis selepas ini.
Sebelum mengakhiri perbualan, Mira sempat berkongsi perkembangannya dalam bidang lakonan sebagai anak seni.
“Saya sudah pun menjalani penggambaran untuk filem pertama saya iaitu Sangkar dan Julai ini akan ke London untuk penggambaran filem kedua saya di bawah arahan pengarah Nik Amir.
“Selain itu, ada dua drama iaitu drama untuk Astro Oasis dan juga Akasia siaran TV3. Insya-Allah akan digandingkan bersama Remy Ishak,” ujarnya yang juga berminat untuk berlakon teater atau cerita Melayu klasik pada masa akan datang.