Puteri Sarah bersama suami, Syamsul dan anaknya, Syaikhul.
Pelakon Puteri Sarah yang juga merupakan isteri kepada aktor dan pengarah Syamsul Yusof mengesahkan dia kini hamil anak kedua.
Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 33, berkata, dia dan suaminya berhasrat untuk menimang cahaya mata kedua sejak anak pertama mereka, Syaikhul Islam berusia 11 bulan.
“Alhamdulillah saya disahkan hamil dan usia kandungan ini baru mencecah lima minggu.
“Saya berasa sangat gembira kerana kami memang merancang untuk mendapatkan cahaya mata dan telah sudah mencuba sejak anak pertama berusia 11 bulan lagi,” ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran jamu Mutyara di WowKL di sini hari ini.
Sementara itu, Puteri Sarah berkata, doktor menasihatkannya agar banyak berehat dan tidak melakukan kerja-kerja berat.
“Doktor tidak membenarkan saya mendukung anak atau lakukan kerja-kerja berat. Namun, saya tetap dukung secara curi-curi.
“Sekarang belum lagi muntah-muntah atau mengalami alahan, mungkin masih awal,” ujarnya yang hanya mengalami alahan ketika mengandungkan Syaikhul pada bulan ketiga.
Pasangan ini berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata Syaikhul Islam yang kini berusia 1 tahun 3 bulan.