Hazami ada kudrat


Sebelum ini Hazami berdepan dugaan besar apabila kesihatannya terganggu akibat usus berdarah.

Selepas lebih dua tahun, kesihatannya bertambah baik dan kini menjadi lebih peka dengan kesihatan.

“Alhamdulillah, sakit yang saya alami pada 2015 mengajar banyak perkara dan sehingga kini, saya sangat menjaga kesihatan,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 43 tahun ini, rutin pemakanannya adalah seperti yang disarankan doktor.

“Doktor menasihatkan saya supaya makan banyak buah-buahan pelbagai warna kerana setiap buah-buahan itu kaya dengan zat tersendiri.

“Jadi, setiap hari saya akan menyediakan jus buah-buahan untuk saya minum. Alhamdulillah, banyak manfaat yang saya rasa terutama dari sudut kesihatan kulit,” katanya.

Selain itu, Hazami juga begitu menjaga waktu tidurnya.

“Jadual tidur saya mung­kin tidak seperti orang lain. Saya banyak menghabiskan waktu di studio dan selalu­nya selepas solat Subuh, saya akan tidur sekejap.

“Tapi, selalunya, saya akan betul-betul tidur selepas Zuhur. Kadang-kadang, sampai enam jam saya tertidur,” katanya.





Bercerita mengenai kerjaya nyanyiannya sepanjang tahun ini, Hazami bersyukur kerana bakatnya masih mendapat perhatian banyak pihak.

“Mungkin orang jarang nampak saya di TV selepas Gegar Vaganza tahun lalu, tapi sebenarnya jadual kerja saya boleh dikatakan padat.

“Alhamdulillah, stesen radio juga banyak memainkan lagu saya. Cuma, mungkin kerana faktor usia, saya kena banyak curi masa untuk rehatkan diri,” katanya.

Terbaru, Hazami baru saja melancarkan single duetnya bersama Zamil Idris.

“Lagu baru itu berjudul Kudrat dan ia berkisar me­ngenai persahabatan sesama manusia dan kekuatan dalaman yang mungkin kita sebagai manusia, tak tahu kita ada benda itu.

“Kalau ditanya inspirasi untuk lagu ini, ideanya adalah daripada persahabatan kami sendiri yang saling menyokong cita-cita satu sama lain,” katanya.

Selain itu, dia juga baru saja menyiapkan lagu berjudul Malar yang akan dinyanyikan Aishah di samping single solonya, Dicipta Untukku yang akan dilancarkan tidak lama lagi.





Post a Comment

Previous Post Next Post