Haneesa Abdullah Peluang terbuka luas


Sejak berusia 13 tahun, Haneesa Abdullah atau Neesa, 23, aktif menyanyikan lagu artis popular tempatan dan antarabangsa serta memuat naik video nyanyiannya di YouTube.

Lagu versi saduran Crash nyanyian Yuna dan Janam Janam yang dipetik daripada filem Dilwale mencatat tontonan 50,000 peminat dan ini membuka mata banyak pihak sehingga Neesa ditawarkan mengadakan persembahan di majlis keramaian sekitar Kuala Lumpur.

Peluang untuk Neesa terbabit secara langsung dalam dunia seni akhirnya terbuka luas apabila dilamar syarikat rakaman August Tree Records tahun lalu.

“Saya minat menyanyi sejak di bangku sekolah menengah dan ia berterusan sehingga menuntut di Universiti Limkokwing, Cyberjaya.

“Ketika di sana, seorang kawan memperkenalkan saya dengan Raja Hafizee, pemilik August Tree Records.

“Dia menghasilkan single berjudul Cinta Tak Sempurna yang mengisahkan mengenai cinta suci pasangan kekasih. Saya mendalami dan menghayati maksud lagu ini dan berjaya menyampaikannya dengan baik,” katanya.

Menurut Neesa, Cinta Tak Sempurna lahir daripada kesedihan yang dialami Raja Hafizee sendiri.

Bahkan ia juga ada kena-mengena dengan jiwanya sendiri yang begitu kecewa dengan situasi ketika itu.





“Sentuhan muzik balada dan campuran energi pop dan rock serta ditemani perasaan sinematik berjaya menghasilkan satu karya muzik yang sesuai untuk pendengar di negara kita dan seluruh dunia.

“Lagu ini dirakam tahun lalu, namun dirakam semula dengan beberapa penambahbaikan agar lebih menarik dan mantap.

“Saya dan Raja tak rasa ia tindakan merugikan kerana mahu hasil yang sempurna. Saya pula suka bermain dengan emosi apabila menyanyikan lagu ini,” katanya.

Neesa yang juga siswazah ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Pengiklanan kini memilih kerjaya sebagai penata rias.

Dia cuba melakukan eksperimen apabila menzahirkan idea sendiri merangkumi nyanyian dan solekan yang digabungkan dalam medium seni.

Post a Comment

Previous Post Next Post