Hael Husaini Jangan tangguh niat


Penyanyi, Hael Husaini, 31, menyarankan kepada golongan muda yang berkeinginan mengambil anak angkat supaya tidak menangguhkan hasrat itu.

Hael berkata, rezeki buat anak seperti dijanjikan Allah SWT itu tetap ada dan itulah yang diperolehnya hingga kini sejak kehadiran anak angkatnya, Nur Helena, setahun tiga bulan.

“Terus-terang, pada mulanya saya bimbang juga nak ambil anak angkat kerana memikirkan kedudukan karier dan kewangan tidak stabil ketika itu.

“Namun, selepas hadirnya Nur Helena dalam hidup saya ternyata perubahan berlaku sekelip mata dan Alhamdulillah rezeki diperoleh tidak putus hingga kini," katanya.

Menurut Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, niatnya mengambil Nur Helena sebagai anak angkat ikhlas untuk membesarkannya anak kecil itu dengan penuh kasih sayang.

Hael juga cekalkan hati untuk menolak semua tanggapan serong dan dangkal segelintir masyarakat terhadap golongan bujang dan belum berkahwin yang mengambil anak angkat.

“Pedulikan dan biarlah apa yang orang nak anggap pada saya. Semua itu saya tak kisah langsung. Apa yang penting, kasih sayang tulis saya pada Nur Helena.

“Lagi pun, saya ambil Nur Halena sebagai anak angkat mengikut prosedur yang betul. Malah, setiap enam bulan sekali pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat lawatan.

“Malah, dengan pihak jabatan agama Islam juga saya sudah membuat rujukan dan mendapatkan penjelasan daripada ustaz yang bertauliah," katanya.

Penyanyi lagu Jampi ini memberitahu dia turut gembira dan bersyukur dapat membesarkan Nur Helena dengan penuh kesabaran meskipun tidak ada pengalaman, sebagai bapa pada awalnya.

Terdahulu, Hael mengadakan majlis aqiqah dan doa selamat termasuk rumah terbuka Aidilfitri di Ruang, Subang Jaya, malam tadi.

Ia dihadiri lebih 300 tetamu hadir merangkumi keluarga, saudara, kenalan, rakan selebriti dan peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post