Datuk Fazley Yaakob bersama isteri, Datin Azrene Soraya Abdul Aziz dan empat anak mereka.
Penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob yang sebelum ini pernah meluahkan hasrat bersanding semula dengan isterinya Datin Azrene Soraya Abdul Aziz akan mengotakan janji itu pada November depan.
Fazley berkata, dia mahu melakukan majlis tersebut secara sederhana dengan menjemput rakan-rakan yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinannya 12 tahun lalu.
“InsyaAllah perancangannya bulan November depan kerana kami bernikah pada 7 November, mungkin dalam minggu itu. Persiapan sudah dirancang atas kertas cuma belum secara fizikal.
“Tapi ia bergantung juga kepada jadual saya dan isteri serta selesaikan urusan anak-anak dulu,” ujarnya kepada mStar Online pada Khamis.
Fazley menunjukkan beberapa hidangan istimewa di Restoran Mamanda.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran restoran Mamanda Kuala Lumpur yang bertempat di Tournament Players Club (TPC) Kuala Lumpur.
Fazley dan Azrene berkahwin pada 2007 dan perkahwinan itu penuh kontroversi apabila ibu Azreen iaitu Datin Seri Rosmah Mansor tidak merestuinya.
Azrena adalah anak Rosmah, hasil perkahwinan dengan suami terdahulu iaitu Abdul Aziz Nong Chik.
Fazley berkata, dia mahu melaksanakan majlis tersebut secara sederhana bagi meraikan ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan media yang tidak dapat hadir pada majlis perkahwinan lalu.
Katanya, hasrat tersebut merupakan janji yang pernah dibuat kepada arwah bapanya.
Fazley melancarkan Restoran Mamanda pada Khamis.
“Dulu saya jemput 100 orang media ke majlis itu tapi lapan orang sahaja yang datang, malah ada yang datang itu diberhentikan kerja.
“Ada rakan media yang hubungi saya minta maaf tak dapat datang dan ketika itu mereka minta saya buat lagi majlis jika ada rezeki untuk mereka datang.
“Selain itu juga pesanan arwah ayah saya sebelum dia meninggal,” katanya.
Dalam pada itu, ditanya tentang perancangan keluarga pula, Fazley berkata, dia tidak merancang untuk menamba cahaya dalam masa terdekat.
Petugas media yang hadir turut diberi peluang mencuba menyediakan hidangan istimewa Restoran Mamanda.
“Buat masa ini tutup kedai dahulu, cukup empat orang dan kami mahu fokus membesarkan mereka terlebih dahulu,” ujarnya.
Fazley dan Azrene dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8, Ahmad Firudz Shah, 6 dan Alayna Selma yang kini berusia tujuh bulan.
Sementara itu, bercerita tentang Mamanda, Fazley berkata, restoran itu sudah dibuka kepada umum sejak setahun lalu.
Mamanda menawarkan makanan Melayu Nusantara dengan harga berpatutan.
“Pengunjung boleh merasai suasana mewah istana Melayu sewaktu berada di situ sambil menikmati hidangan Melayu Nusantara ala Diraja,” ujarnya.