Zain dan Azrel berharap gandingan mereka dalam filem ini diterima penonton dengan baik.
Mungkin ada antara kita yang tidak pernah ambil tahu bagaimana sesebuah karya itu dihasilkan sebelum diangkat menjadi sebuah naskhah di layar perak. Bukan itu sahaja, ada banyak lagi cerita yang tidak pernah sampai ke telinga penonton mengenai suasana sebenar individu-individu yang merupakan penggiat industri filem itu sendiri.
Justeru, sebuah filem baharu berjudul Bikin Filem bakal mempamerkan satu sisi jalan cerita yang berbeza khas buat tontonan umum. Menampilkan ramai barisan pelakon, antaranya ialah Azrel Ismail dan Zain Hamid selaku pendukung dalam karya asal dan arahan Mohd. Latiff Zami itu.
Minggu ini, Sensasi Bintang berkesempatan menemu bual dua pelakon tersebut untuk berkongsi cerita mengenai pembabitan mereka dalam naskhah tersebut.
Apakah yang membuatkan kalian bersetuju untuk terlibat dalam pembikinan filem berjudul Bikin Filem itu?
AZREL ISMAIL: Sewaktu saya menerima tawaran untuk berlakon dalam naskhah ini, saya tertarik dengan mesej yang cuba disampaikan dalam filem ini. Bagi saya, ia merupakan sebuah naskhah berbeza dengan cerita-cerita yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Ini kerana, menerusi tajuknya sahaja iaitu Bikin Filem sudah menggambarkan secara umum bahawa filem ini mengisahkan mengenai pembikinan sesebuah filem. Ia merupakan satu sudut penceritaan yang cukup unik pada saya.
ZAIN HAMID: Kelazimannya, kalau kita menonton sesebuah naskhah yang dipaparkan di layar perak itu, ia hanya sebuah produk yang sudah selesai sepenuhnya. Jadi, penonton hanya melihat hasil akhirnya sahaja. Bagaimanapun, dalam filem ini ia memberikan pengetahuan kepada umum mengenai apa yang sering berlaku dalam menghasilkan sesebuah filem itu. Pada saya, ini sebuah karya yang segar untuk kita berikan kepada penonton agar mereka mengerti sedikit sebanyak apa yang dilalui oleh kami yang bekerja keras untuk penghasilan sesebuah karya.
Boleh kongsikan mengenai karakter kalian dalam filem tersebut?
AZREL ISMAIL: Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai seorang pelakon juga. Jadi, karakter saya tiada bezanya dengan diri saya sebenar. Ia secara tidak langsung memudahkan lagi kerja saya kerana perlu berlakon menjadi pelakon.
ZAIN HAMID: Saya pula diberi peranan sebagai kru produksi yang menggalas tugas sebagai pengarah fotografi. Jadi, dalam membawakan peranan itu, saya dapatkan tunjuk ajar daripada kru sebenar yang memang sudah berpengalaman dalam membawakan tugas tersebut. Pada saya, ia merupakan satu watak yang cukup berbeza kerana kita berlakon menjadi kru produksi filem pula.
Apakah cabaran yang terpaksa dihadapi dalam pembikinan filem tersebut?
AZREL ISMAIL: Memandangkan saya memang seorang pelakon dan watak diberikan juga tugasnya sebagai pelakon, maka ia tidak begitu sukar kerana saya tahu apa yang perlu dilakukan. Cuma, sebagai pelakon semestinya cabaran yang kita hadapi adalah dalam menyampaikan mesej sama seperti yang diharapkan oleh pengarah. Ini kerana, setiap pengarah mempunyai sasaran mereka sendiri terhadap kemampuan pelakon dalam menyampaikan karya mereka.
ZAIN HAMID: Memandangkan ia sebuah karya yang boleh disifatkan sebagai filem dalam filem, jadi secara tidak langsung apabila berada di set penggambaran itu, adakalanya membuatkan saya sendiri keliru. Mana tidaknya, pelakon dan kru bagaikan sudah tidak boleh dibezakan. Pakaian kami pun lebih kurang sama sahaja. Kami berlakon menjadi kru, tetapi di belakang kami juga ada kru yang merakamkan lakonan kami. Pening jugalah sebab ia melibatkan tenaga produksi yang ramai. Sampaikan keliru apabila yang dipanggil pengarah itu kru sebenar atau pelakon.
Pada pandangan kalian sendiri, apakah kelebihan penghasilan karya sebegini yang mengangkat kisah penerbitan sesebuah filem untuk dipaparkan kepada penonton?
AZREL ISMAIL: Ada banyak cerita, isu dan situasi yang sering berlaku dalam industri hiburan ini. Filem ini sendiri mengangkat beberapa konflik yang sering terjadi dalam kalangan penggiat seni yang mungkin ada tidak pernah tahu mengenainya sebelum ini. Isu-isu yang dipaparkan itu semuanya kisah sering terjadi. Sebagai contoh, dalam filem ini, dipaparkan saya mempunyai hubungan dengan penerbit yang secara tidak langsung membantu saya sebagai pelakon untuk mendapatkan tawaran berlakon.
ZAIN HAMID: Apabila penonton melihat sendiri betapa sukarnya dalam menghasilkan sesuatu filem, jadi secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada mereka agar menghargai sesebuah karya. Dengan cara ini diharapkan mereka sedar bahawa impak diterima kami sekiranya sesuatu karya itu dicetak rompak. Bukan mudah nak hasilkan filem. Kerja siang dan malam menghabiskan tenaga di set penggambaran.
Mungkin ada perkembangan lain yang kalian ingin kongsikan kepada peminat di luar sana?
AZREL ISMAIL: Saya akan muncul dengan filem berjudul Pulang terlebih dahulu yang akan bertemu penonton hujung bulan ini. Ia merupakan gandingan sulung saya bersama Remy Ishak. Sebelum ini, orang cakap wajah kami ada iras, tapi kali ini saya berpeluang berlakon dengannya.
ZAIN HAMID: Selepas selesai penggambaran Bikin Filem, saya pula akan sibuk dengan sesi latihan vokal untuk persediaan dalam penganjuran konsert Ruffedge yang akan diadakan bulan depan. Ia merupakan konsert sempena ulang tahun ke-20 penubuhan Ruffedge. Alhamdulillah, kami menerima sambutan yang positif dalam kalangan peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan selama ini.