Awie rindukan anak


Pepatah Melayu ada mengatakan, dalamnya laut dapat diukur dalamnya hati siapa tahu, barangkali boleh menggambarkan situasi yang dilalui oleh penyanyi dan pelakon terkenal, Datuk Awie.

Ujar Awie, keretakan rumah tangganya dengan Rozana Misbun sejak empat tahun lalu secara tidak langsung telah memisahkannya dengan dua dari tiga cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama iaitu Putra Ahmad Rezzki, 10, dan Putri Qasseh Antasha, 8.

Manakala anak Putra Ahmad Merrah, 11, kini tinggal bersamanya dan isteri, Datin Sharifah Ladyana serta dua lagi anaknya hasil perkahwinan pertama iaitu Putri Aleeya Antasha, 18, dan Putri Aleefa Antasha, 16 tahun.

"Orang mungkin nampak saya happy, tapi sebenarnya setiap hari saya menderita rindukan Rezzki dan Qasseh.

"Setiap malam sebelum tidur, saya akan lihat dulu gambar mereka dan ucapkan selamat malam.

"Tapi tak ada apa yang mampu saya buat untuk berjumpa mereka dan kes melibatkan saya dan ibu mereka juga masih berjalan di mahkamah," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Awie, dia sebolehnya enggan bercerita lanjut mengenai hal tersebut dan menyerahkan segalanya kepada takdir dan keputusan mahkamah kelak.

Malah pemilik nama sebenar Ahmad Azhar Othman ini, pengalaman selama 33 tahun di dalam industri secara tidak langsung telah banyak mematangkanny.

Bukan itu sahaja, dia sebolehnya enggan membuat musuh dengan sesiapa lagi dan sentiasa memaafkan orang di sekelilingnya.

"Dunia ini ibarat roda, malah selepas lebih tiga dekad dalam industri, saya dah banyak belajar.

"Dulu bila saya kata tak mahu lagi bercakap dengan Erra Fazira, nak lari daripadanya tapi akhirnya kami dipertemukan juga oleh orang lain.

"Saya dah tak nak jadi poyo lagi, kalau saya kata benci marahkan orang, saya anggap diri saya bodoh.

"Bagi saya industri ini tidak besar mana kerana akhirnya nanti akan bertemu juga," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Hantu Kak Limah.





Ditanya hubungannya dengan bekas anggota Wings iaitu Joe, Awie mengakui sudah lama tidak berhubung dan bercakap dengan gitaris terkenal itu.

"Saya tak pernah berharap untuk dia datang meminta maaf, biarlah dia dengan dunia dia.

"Tapi saya sentiasa memaafkan, siapalah saya tidak memaafkan orang lain.

"Bagi saya, kita tak boleh nak kata kita benci dia, kerana nanti yang kita kata benci itulah yang akan datang bantu kita. Malah mana tahu juga kalau suatu hari dia dalam kesusahan, saya yang akan bantu dia," jelasnya.

Awie berkata, biarpun Joe tidak lagi bersama Wings, namun ia tidak memberi kesan buatnya dan rakan yang lain.

Malah ujar Awie, mereka kini juga dalam proses menyiapkan single terbaharu Wings.

"Saya tak suka buat projek solo, rasa bosan buat persembahan sendiri. Malah kami semua sangat komited dengan projek terbaharu dan semua memberi idea terhadap kumpulan ini sekarang," katanya.

Luang masa bersama keluarga

Bukan itu sahaja, pelakon yang terkenal dengan watak Husin menerusi filem Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah ini juga lebih senang meluangkan masa bersama keluarga kini.

Katanya, dia juga mula menanam beberapa jenis sayuran dan pokok buah-buahan di sekeliling rumah dan menganggap ia sebagai salah satu terapi.

"Bagi saya, saya dah banyak ubah diri tapi tidaklah berubah secara total, cuma saya rasa kehidupan saya kini lebih baik.

"Saya lebih suka melayan anak isteri, memasak untuk mereka dan juga mengusahakan perniagaan pakaian di bawah jenama Tok Wi bersama mereka," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post