Asyraf Khalid, Tya Ariffin tak paksa anak ceria


Tya Ariffin anggap populariti anaknya sebagai rezeki.

Isteri kepada Asyraf Khalid iaitu Tya Ariffin menganggap populariti yang diraih anaknya iaitu Arif Jiwa Asyraf sebagai satu rezeki buat keluarga mereka.

Tya, 24, yang juga aktres Indonesia berkata, dia gembira melihat anaknya yang kini berusia setahun itu disayangi dan mempunyai peminat tersendiri.

"Alhamdulillah kita anggap ia sebagai rezeki bila orang ramai suka melihat keceriaan dia. Jika di luar ramai yang menegur secara tidak langsung membuatkan mereka seperti keluarga baru kepada Arif.

"Saya juga bersyukur setiap hari ramai yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan dia agar membesar dengan baik," ujarnya.

Tya ditemui pada majlis pelancaran jamu Mutyara Beauty yang diadakan di Wow KL baru-baru ini.


Tya lancar produk jamu Mutyara Beauty

Bagaimanapun, Tya berkata, dia tidak pernah memaksa anaknya itu untuk melakukan perkara yang menjadi tekanan kepada diri bayi berkenaan.

"Apa saya kongsi di Instagram itu adalah keletah dia yang dirakam secara semula jadi. Saya tidak paksa dia untuk senyum atau buat perkara yang dia tidak mahu.

"Begitu juga kalau jumpa dengan orang ramai kadang-kadang mood dia tidak baik, jadi saya akan beritahu awal-awal kepada mereka bahawa dia tiada mood hari ini. Saya tidak memaksa dia untuk sentiasa senyum seperti dalam video itu.

"Saya mahu dia membesar dan menjadi diri sendiri tanpa tekanan," ujarnya.

Dalam pada itu, Asyraf yang juga anak tiri penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, populariti yang diraih anak sulungnya adalah satu peluang yang sukar untuk dimiliki.

Katanya, ada segelintir yang sanggup melakukan apa sahaja untuk dikenali.






Tya tak paksa Arif sentiasa ceria.

"Ia satu peluang yang tidak semua dapat, jadi ia perlu dihargai dan memandang dari sudut positif.

"Insya-Allah saya akan merujuk kepada orang profesional tentang perkembangan pembesarannya sama ada mendatangkan kesan negatif atau tidak," ujarnya.

Dalam pada itu, bercerita tentang jamu Mutyara Beauty, Tya berkata, dia merupakan salah seorang yang mengamalkan jamu resepi nenk moyangnya sejak remaja.

Katanya, dia melihat jamu tersebut boleh dikormersialkan di negara ini berikutan kebanyakkan wanita sibuk dan tiada masa untuk membuat jamu sendiri.

"Saya lihat potensi jamu ini wajar dikomersialkan apatah lagi ia hasil resipi turun temurun dari keluarga.

"Saya tidak mahu khasiat jamu itu dibiarkan begitu sahaja sebaliknya ingin berkongsi dengan seluruh wanita di luar sana yang percaya betapa peri pentingnya amalan ini," ujarnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post