Zizan merancang untuk mengakhiri zaman bujang pada tahun ini atau tahun hadapan.
Pelawak dan pelakon Zizan Razak sudah mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga pada tahun ini atau selewat-lewatnya tahun hadapan.
Zizan atau Mohammad Razizan Abdul Razak, 34, bagaimanapun berkata, dia tidak mahu terburu-buru dalam soal itu kerana mahu memastikan semua perancangan berhubung perkara itu berjalan lancar.
"Terus terang bila sebut soal kahwin ini memang saya ada berniat dalam masa terdekat. Mungkin tahun ini atau tahun hadapan.
"Tapi segalanya masih dalam perancangan... Tengah susun supaya semuanya berjalan lancar.
"Saya tak nak kahwin sebab kita rasa perlu kahwin dan pilih sahaja sesiapa bimbang nanti hidup tak bahagia," katanya kepada mStar Online.
Tambah Zizan lagi, dia perlu memilih pasangan yang terbaik dan sesuai dengan kehidupannya serta saling memahami.
Zizan digosipkan bercinta dengan Mira Filzah.
"Saya perlu pilih yang terbaik untuk diri sendiri. Suri rumah saya itu nanti mesti yang sesuai dengan kehidupan saya dan kami kena saling memahami.
"Kita nak hidup bersama bukan sekadar bangun tidur dengan dia sahaja. Kita nak hidup sebagai kawan, sahabat dan orang yang tahu menguruskan satu sama lain.
"Kena jadi penasihat untuk dia sebab kita adalah pemimpin," ujarnya.
Menurut Zizan, dia kini sedang mengenali seseorang namun enggan mendedahkan siapakah individu itu kerana peminat sudah sedia maklum siapakah gerangan wanita tersebut.
"Buat masa ini lebih baik saya rahsiakan. Nak kata ada tu, boleh dikatakan dalam proses berkenalan.
Zizan akan mengadakan rumah terbuka untuk peminatnya di Terengganu.
"Ada la yang saya sasarkan. Saya tahu ramai yang dah tahu siapa dia cuma saya tidak mahu menyebutnya," katanya.
Sebelum ini, Zizan digosipkan sedang menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon Mira Filzah.
Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mengiyakan dan hanya memberitahu hubungan tersebut sekadar kawan sahaja.
Dalam pada itu, Zizan yang kini berada di kampungnya Dungun, Terengganu bagi menyambut hari raya akan mengadakan rumah terbuka untuk peminatnya di sana.
"Saya dah lama tak buat rumah terbuka sebab dua tahun sebelum ini saya menyambut hari raya di Makkah. Tahun ini Insya-Allah saya akan buat tapi tak besar.
"Sebab yang datang pun bukan nak makan tapi nak bergambar. Saya akan adakan di Terengganu, mungkin hari raya keempat," katanya.