Zahirah MacWilson, Ayda Jebat tak cuti lama


Pelakon yang semakin meningkat naik, Zahirah MacWilson memberitahu, raya tahun ini agak berbeza buatnya apabila menyambut Aidilfitri dengan keluarga 'baharu'.

Menurut Zahirah, seperti kebiasaannya, dia pulang ke Perth, Australia menyambut Aidilfitri bersama ibu, bapa tiri dan adik beradiknya, manakala bapanya, Zainol Johari Macwilson yang juga pelakon menyambut Lebaran di Perlis bersama keluarga ibu tirinya.

Biarpun lebih selesa berhari raya di Perth, Zahirah berkata, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai walaupun suasana berbeza.

"Di sana tiada cuti umum Aidilfitri, kalau raya jatuh hari biasa, kena ambil cutilah. Tapi raya kat sana meriah juga.

"Ibu saya, Maslinda Yusof, seperti kebiasaan menyediakan juadah tradisi kita seperti rendang, lontong yang juga makan kegemaran saya.

"Saya biasanya hanya tolong mengemas rumah dan menggosok baju adik-adik, memandangkan saya yang sulung. Ibu saya dia tak suka kalau kami semua berkumpul di dapur ramai-ramai kerana baginya itu ruang kerja dia (ketawa).

"Jadi kami hanya tolong mana yang patut, lebih-lebih lagi bab mengemas dan menghias rumah.

"Pada hari raya pertama, kami akan sama-sama menunaikan solat sunat Aidilfitri dan kemudian pergi beraya di rumah kenalan yang ada di sana," katanya ketika ditemui baru-baru ini.





Menurut selebriti berusia 23 tahun ini, dia pulang ke Perth sejak seminggu sebelum Aidilfitri dan sudah berada di Kuala Lumpur semula, semalam.

Katanya, dia tidak bercuti lama lantaran terikat dengan penggambaran termasuk drama terbaharu lakonannya, Jangan Benci Cintaku akan ditayangkan di slot Akasia TV3 tidak lama lagi.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon bertubuh genit, Ayda Jebat memberitahu dia hanya bercuti sehingga raya keempat lalu kerana terikat dengan penggambaran drama untuk slot Akasia TV3 juga iaitu Cinta Bukan Kristal, di mana dia kembali bergandingan dengan aktor, Sharnaz Ahmad.

Selain dia dan Sharnaz, drama itu turut dibintangi Raja Afiq, Nina Iskandar, Ayu Raudhah, Wan Nor Azlin, Dayana Roza dan ramai lagi.

Katanya, biarpun tidak bercuti lama, namun dia tetap mempunyai lebih 50 pasang baju raya yang disediakan oleh Jakel dan Ariani.

"Alhamdulillah rezeki saya sejak tahun lalu memang Jakel dan Ariani yang sediakan baju raya memandangkan saya duta untuk mereka.

"Walaupun antara baju yang saya kata tak perlu beri, mereka tetap akan beri. Malah meskipun cuti raya tidak lama untuk saya, ia tidak mendatangkan masalah kerana saya tetap boleh memakai pada majlis rumah terbuka atau ketika penggambaran pada babak yang bersesuaian," ujarnya.

Tambahnya setiap kali Lebaran, mereka tidak membuat sebarang rumah terbuka dan biasanya rumah terbuka dianjurkan oleh kelab peminatnya.

"Biasa memang saya serahkan pada mereka untuk organised dan sudah beberapa tahun memang rumah terbuka, kelab peminat yang akan uruskan," akhirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post