Tuah populariti Arif Jiwa


Dilahirkan pada 31 Mac 2017, si comel Arif Jiwa Asyraf pada mulanya hanya dikenali sebagai cucu tiri kepada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza serta anak sulung kepada Asyraf Datuk Seri Khalid dan pelakon Indonesia, Nurtria Wulandari Arifin atau Tya Arifin.

Sejak awal kelahiran, ibunya, Tya, 24, sudah pun mencipta akaun Instagram buat Arif dengan tujuan ia dapat menjadi kenangan kepada anaknya itu apabila sudah dewasa kelak.

Siapa sangka, Instagram yang dimulakan dengan niat suka-suka semakin hari semakin banyak menerima jumlah pengikut seiring dengan pertambahan usia Arif yang kini sudah mencecah setahun tiga bulan.

Keletah yang mencuit hati, kebijakan dan kecomelan Arif telah membuatkan banyak hati pengikut menjadi cair setiap kali Tya atau Asyraf memuat naik perkembangannya di laman Instagram 
@arifjiwaasyraf.

Memiliki lebih 400 ribu pengikut laman Instagram, anak kecil itu baru-baru ini turut membuktikan populariti apabila memenangi kategori Cilik MeleTOP bagi Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME 2018)April lalu, sekali gus menyaksikan ketewasan beberapa anak selebriti lain seperti Lara Alana (Scha Al Yahya dan Awal Shaari), Aaisyah Dhia Rana (Che Ta dan Zain Saidin) dan Syeriv Samheizy (Syatila Melvin dan Shaheizy Sam).

“Ia suatu kemenangan yang tidak dijangka kerana jika dilihat pada jumlah pengikut Instagram, Arif masih ketinggalan. Namun, kegigihan Tya yang meminta peminat mengundi nampaknya membuahkan hasil dan membuktikan Arif mulai disayangi.

“Sebagai ibu bapa, kami bersyukur kerana ia rezeki yang tidak diterima oleh semua orang. Lagipun, jika diikutkan semua bayi pun comel sama seperti Arif cuma bezanya dia dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai pengaruh seni,” kata Asyraf sewaktu sesi fotografi raya Kosmo! di kediamannya di Bukit Antarabangsa baru-baru ini.

Tumpang
Sepanjang sesi fotografi berlangsung, sememangnya tidak susah untuk merakam si kecil yang dipanggil ‘Happy Baby’ oleh ibunya ini dalam keadaan tersenyum dan tersengih sambil menampakkan barisan gigi susu yang sudah hampir penuh.

Arif banyak mewarisi kemanisan senyuman Tya dan warna kulit Asyraf, namun pada sesetengah pendapat, anak kecil yang baru sahaja pandai berjalan itu turut menerima tempias populariti nenek tirinya yang mesra dipanggil Umi Ti.

Kata Tya, mereka ada juga mendengar hal serupa dan sejujurnya sewaktu awal pernikahan pada tahun 2015 dahulu, dia sendiri turut dikatakan menumpang nama besar Siti untuk membina kerjaya lakonan di Kuala Lumpur

“Bagi saya, ia satu penghargaan untuk mendapat tempias populariti Mak Iti (Siti) bermula dengan saya kemudian turun kepada Arif kerana dia adalah idola dan kebanggaan rakyat Malaysia.

“Lagipun Mak Iti memang rapat dengan Arif dan sering memanjakan anak saya sebelum dikurniakan Siti Aafiyah. Jadi, saya dan Asyraf terima perkara tersebut dengan hati terbuka dan menganggap itu rezeki anak kami mendapat nenek tiri yang diminati ramai,” jelasnya lagi.

Mengangguk setuju dengan apa yang diperkatakan isterinya, Asyraf, 26, bagaimanapun masih tidak mahu menjadikan populariti Arif sebagai satu alasan untuk anaknya menjadi selebriti.

Kata anak ketiga daripada empat adik- beradik itu, Arif masih terlalu kecil untuk ditentukan hala tuju masa depan. Dia mahu anaknya itu menjalani kehidupan normal seperti anak-anak lain.

“Buat masa sekarang, saya hadkan dia hanya boleh muncul dalam iklan atau drama jika Tya ada bersama. Namun, jika Arif memilih mahu menjadi artis suatu hari nanti, saya tetap akan memastikan dia turut belajar soal perniagaan sama seperti saya,” tegasnya lagi.





Raya

Menyentuh soal kemeriahan sambutan Lebaran tahun ini, Asyraf mengakui tidak sabar untuk menikmati keseronokan Syawal terutama apabila Arif sudah pandai berjalan dan mengenali ahli keluarga.

Bakal meraikan hari raya pertama di Kuala Lumpur, mereka bertiga akan terbang ke kampung halaman Tya di Palembang, Indonesia pada hari raya kedua bagi menyambung sambutan bersama keluarga di sebelah sana.

“Tahun ini merupakan tahun kedua kami beraya bersama Arif, cuma bezanya tahun lepas dia masih bayi dan kurang memahami suasana gembira berkumpul bersama ahli keluarga.

“Sekarang dia sudah boleh berjalan dan dapat mengutip duit raya, jadi ia akan menjadi pengalaman menyeronokkan buat saya dan isteri. Tahun ini kami pulang ke Palembang sebanyak dua kali iaitu seminggu sebelum raya dan selepas raya,” ujarnya teruja.

Bagi Tya pula, sejak bergelar isteri Asyraf tiga tahun lalu, dia sudah membiasakan diri beraya di Malaysia sebelum pulang ke Palembang dan tidak berasakan situasi begitu mengundang kesedihan.

“Sama sahaja raya walau di sini atau Indonesia kerana kedua-duanya famili saya. Lagipun saya memahami kekangan jarak dua negara dan berasa gembira sahaja untuk beraya dengan keluarga mertua di Kuala Lumpur dulu,” katanya sambil tersenyum.

Buat peminat Arif, kemunculan si cilik itu dalam episod khas rancangan realiti Oh My Family! di saluran Astro Ria pada hari raya pertama baru-baru ini, tentunya sesuatu yang menyeronokkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post