Syura sedih raya tanpa anak buat pertama kali


Penyanyi yang juga bekas peserta program Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Syura, memberitahu sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza buatnya.

Jelas pemilik nama sebenar Zuraidah Badron ini, untuk pertama kali selepas bercerai lima tahun lalu, tiga anaknya iaitu Nurul Dania Irdani, 11; Nurul Qaisara Sofia, 9 dan Muhammad Irfan Aryan, 7, dia menyambut Lebaran bersama bekas suaminya, Mohd Fadhly Md Yassin, 37.

"Selepas bercerai, anak-anak memang akan bersama saya pada hari raya pertama. Tapi tahun ini bekas suami request untuk beraya bersama anak-anak dahulu.

"Jadi dia juga yang akan tentukan berapa lama anak-anak dengan dia nanti.

"Apa yang pasti, tahun ini akan berbeza kerana sebelum ini pagi raya saya sibuk uruskan anak-anak, tapi tahun ini beraya bersama mak dan ahli keluarga yang lain sahajalah," ujar Syura ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Astro, baru-baru ini.

Tambah selebriti berusia 32 tahun ini, aktiviti raya sejak bergelar ibu tunggal tidak banyak bezanya ketika dia masih bergelar isteri dahulu.

Begitu juga perihalnya ketika dia sudah popular dan hilang seketika serta sebelum terkenal kembali kini.





"Cuma yang berbeza adalah persiapan sahaja, kalau sebelum ni saya akan cari baju suami sedondon begitu juga dengan anak-anak. Malam raya baju pertama yang saya akan gosok, baju suamilah.

"Tapi bila sendiri, baju pertama yang saya akan gosok adalah baju anak lelaki saya. Bayangkan dari baju Melayu dewasa turun ke anak-anak.

"Bagi saya, anak-anak sudah cukup melengkapi raya buat saya masa ini.

"Setiap kali raya, saya banyak habiskan masa dengan keluarga, buat aktiviti apa-apa di rumah sebab bukan selalu dapat berjumpa.

"Malah kalau ke rumah saudara mara itu, biasalah kalau ada yang request untuk bergambar, tapi bagi saya tidak ada beza raya sebagai orang popular atau tidak dahulu," katanya.

Ditanya juadah istimewa yang akan dimasaknya setiap kali raya, anak kelahiran Johor Bharu ini berkata, pastinya sambal goreng jawa menjadi menu wajib pada hari raya.

"Saya masak berdasarkan apa yang diminta dan tentunya apa sahaja dari air tangan ibulah yang menjadi juadah kegemaran saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Syura berkata, dia baharu sahaja menyelesaikan rakaman single terbaharu berjudul Ego, di mana lirik lagu tersebut dihasilkan sendiri.

Bukan itu sahaja, demi memberi sesuatu yang istimewa buat peminat, Syura berkata, dia tidak kisah mengeluarkan belanja sendiri untuk projek terbaharunya ini.

"Disebabkan saya spend sendiri untuk single ini, jadi memang agak teruja dengan setiap step yang saya usahakan. Insya Allah saya akan lancarkan single ini sekitar awal Ogos depan," akhirinya.

Post a Comment

Previous Post Next Post