Saiful Nizam Punah kredibiliti Newsroom


Bekas pembaca berita dan wartawan penyiaran, Saiful Nizam Ismail, mempertahankan tindakannya menegur seorang wartawan muda yang menjadi tular Sabtu lalu apabila membuat liputan lintas langsung sambil menyanyi.

Menurutnya pendekatan sebegitu dilihat kurang sesuai dilakukan bagi laporan untuk bilik berita yang mementingkan kredibiliti penyampainya.

Mengakui tidak berniat untuk mempertikaikan cara atau gaya penyampaian seseorang, Saiful yang sebelum ini bertugas di TV3 ini sekadar menyuarakan pendapatnya sebagai seorang yang pernah menjalankan tugasan yang sama sebelum ini.

“Awalnya saya tidak tahu tentang video tersebut sehinggalah dikongsikan oleh beberapa rakan yang bertanyakan reaksi dan pandangan saya tentang aksi yang sedang menjadi tular itu.

“Disebabkan ramai yang bertanya soalan yang sama, saya memberikan jawapan menerusi Insta Stories tentang pandangan peribadi saya sekali gus teguran terbuka sebagai bekas wartawan penyiaran.

“Tetapi tak sangka pula bila teguran itu disalah erti dan tidak dilihat dari sudut yang positif,” ujar Saiful ketika dihubungi].

Terdahulu sebelum itu wartawan muda yang dimaksudkan, Amirulhakim Lokman, mencuri tumpuan ramai apabila membuat laporan berita berkenaan tinjauan orang ramai pulang ke kampung dari Terminal Bersepadu Selatan dengan gaya penyampaian yang cukup santai apabila menyelitkan nyanyian ketika membuat laporan

“Wartawan sekarang sudah boleh sertakan nyanyian dalam stand upper. Tak tahu nak suka atau rasa pelik. Punah kredibiliti Newsroom,” tulis Saiful di Insta Stories miliknya sebagai respons kepada aksi terbabit.

Amirulhakim bagaimanapun tampil membidas kenyataan yang dibuat Saiful menerusi laman Twitternya sejurus selepas itu.

“Dia kurang faham dengan pengisian laporan serta konsep yang saya bawakan. Santai, padat dan bersahaja dengan suasana kemeriahan pulang beraya.

“Jika dia bertindak secara pro dan bijak, dia seharusnya tegur saya secara peribadi, bukan mengaibkan. Semoga dia dirahmati, Amin,” tulisnya.

Berikutan itu ramai netizen yang turut tampil menyuarakan pendapat mereka. Ada yang menyokong dan tidak kurang yang mengecam.





Saiful bagaimanapun menegaskan, teguran yang dilakukan itu bukan kerana mahu menjatuhkan, jauh sekali bersikap iri dengan wartawan tersebut yang kini mula mendapat perhatian ramai.

“Bukan niat saya nak menjatuhkan, tetapi sekadar menegur kerana gaya penyampian sebegitu agak pelik untuk sebuah laporan berita yang tentunya berbeza dengan pendekatan yang digunakan untuk program hiburan.

“Saya tidak menentang perubahan, malah ketika bergelar wartawan penyiaran sebelum ini pun, saya juga suka melakukan pelbagai kelainan untuk tampil lebih baik dari semasa ke semasa.

“Tidak salah untuk buat perubahan, namun janganlah tampilkan perubahan yang tak kena gaya. Tak perlu nak tarik perhatian sehingga menjatuhkan kredibiliti sendiri sebagai wartawaan penyiaran di bilik berita,” tegasnya.

Dalam pada itu, Saiful memuji gaya penyampaian wartawan muda Safwan Sawi yang turut mencuri perhatian ramai sebelum ini menerusi kelainan yang ditampilkan. Namun bagi Saiful, Safwan menggunakan pendekatan yang bijak dan kreatif tanpa meremehkan kredibiliti sebagai seorang wartawan di bilik berita.

“Saya tegur bukan sebab dengki dengan perhatian yang diberikan kepadanya selepas video tersebut tular. Saya sudah berada di tempatnya dan merasai semua pengalaman sebagai wartawan penyiaran.

“Tiada sebab untuk saya merasa iri hatinya dengannya kerana dia bukan level saya. Jangan ingat semua orang yang beri teguran itu sebab cemburu dengan kita,” tegas Saiful yang kini aktif sebagai pengacara dan ahli perniagaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post