Nabila Razali dimasukkan ke hospital akibat mengalami keracunan makanan.
Penyanyi dan pelakon Nabila Razali dimasukan ke Pusat Perubatan Tawakal pada malam Ahad akibat keracunan makanan.
Pengurusnya, Ash, berkata, penyanyi lagu Pematah Hati itu dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit perut dan lemah badan sejak dua hari lalu.
“Nabila mengadu sakit perut sejak dua hari lalu dan keadaannya menjadi semakin teruk petang semalam.
“Pada mulanya dia sangka sakit perut biasa tetapi setelah membuat pemeriksaan doktor mendapati dia keracunan makanan dan mengalami dehidrasi lalu terus dimasukkan ke wad bagi pemeriksaan lanjut,” ujarnya.
Nabila masih ditahan di hospital.
Dalam pada itu, Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali, 26, terpaksa menangguhkan penggambaran drama Cintaku Di Bumi Izmir yang baharu disambung semula selepas cuti hari raya.
Tambah Ash, sehingga kini pihaknya tidak dimaklumkan perkembangan terbaharu kesihatan penyanyi itu.
“Pihak hospital belum maklumkan perkembangan kesihatannya dan tidak tahu bila akan keluar.
“Selain penggambaran ada juga beberapa undangan persembahan hujung minggu ini, apa-apa pun sama-sama kita doakan kesihatannya kembali seperti biasa ,” ujarnya.
Tags:
NABILA RAZALI