Derita kemurungan, Haqiem Rusli mahu bersara sebagai penyanyi


Penyanyi Haqiem Rusli pada Ahad mengejutkan peminatnya apabila memberi bayangan akan bersara daripada bidang muzik.

Haqiem atau Ridzuan Haqiem Rusli, 21, bagaimanapun memberitahu dia hanya membuat keputusan berhubung perkara itu pada Julai ini.

“Pengumuman penting kepada semua, dah lama saya tunggu saat ini dalam keadaan sekarang serta waktu yang tepat.

“Saya ingin memberitahu tentang posisi saya dalam industri muzik, BERHENTI atau TIDAK pada AWAL BULAN JULAI saya akan memberi jawapan sepenuhnya,” tulisnya di Instagram.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Haqiem berkata, dia melalui banyak keperitan sepanjang bergelar penyanyi dan tiada siapa dapat memahami keperitan dilaluinya.Malah dedah Haqiem, masalah kemurungan yang dihadapinya sejak awal tahun ini turut mendorong sebab dia ingin meninggalkan bidang seni.


Status yang dimuat naik Haqiem di laman Instagramnya pada Sabtu.

“Banyak perkara yang berlaku apabila saya di dalam industri muzik, mereka yang bercakap senang tapi saya yang rasa sakit dan perit.

“Kepada qiemilio jangan marah saya, sila faham keadaan saya dan anda pun tahu saya mengalami kemurungan sejak awal tahun dan ia terus berlaku sampai ke hari ini, bukan murung saja macam-macam lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Haqiem juga memberitahu buat masa kini dia berehat menggunakan media sosial selain kemungkinan akan membuat persembahan terakhir pada 24 Jun depan di Ipoh, Perak.

Penyanyi lagu Jatuh Bangun ini berharap peminatnya tidak berasa marah dan memahami keadaannya.






Haqiem mengambil keputusan berehat daripada laman sosial.

“Buat masa sekarang saya mahu berehat dari media sosial dan pada 24 jun saya akan hadirkan diri membuat persembahan di Ipoh.

“Mungkin ia akan menjadi persembahan terakhir saya sebagai seorang penyanyi kerana 70 peratus sudah diri saya mengatakan ia, tapi apa-apa boleh berlaku.

Dalam pada itu, Haqiem menjelaskan syarikat pengurusannya, FMC Muzik telah memberikan masa untuknya berfikir sehingga bulan ini namun dia akan memberi keputusan muktamad pada awal Julai.

“Keluarga serta FMC sudah memberi saya tempoh rehat dan berfikir hingga habis bulan Jun. Tunggu saya Haqiem Rusli pada awal bulan Julai. Keputusan akan diberitahu,” katanya.

Sebelum ini, Haqiem ada memuat naik beberapa status di Twitter yang menggambarkan dirinya agak kecewa dan akan berhenti menyanyi.

Status-status tersebut telah menimbulkan pelbagai spekulasi daripada peminat yang menganggap penyanyi pujaan mereka akan bersara.

Post a Comment

Previous Post Next Post