Amaran Mila Jirin! Mohon maaf atau tindakan undang-undang?


Mila mahu individu yang memfitnah syarikatnya memohon maaf secara tersebut dalam masa 24 jam.

Penyanyi Mila Jirin menggesa pemilik akaun Instagram bernama Suesharudin mohan maaf secara terbuka selepas memfitnah syarikat perniagaan pakej perkahwinannya di laman sosial sebuah portal.

Mila atau nama sebenarnya Norsyamilla Jirin, 31, berkata dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tersebut yang mencemarkan nama syarikatnya, Bizzmila.

"Perhatian @suesharudin awak buat fitnah secara terbuka tentang chef di @bizmilla_catering. Untuk maklumat, chef kami di BIZMILLA semuanya orang Malaysia.

"Sejak awak dah fitnah secara terbuka, saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sebab awak dah mencemarkan nama syarikat saya.

"Jika tiada permohonan maaf secara terbuka dalam masa 24 jam, saya akan teruskan dengan tindakan undang-undang," tulis Mila menerusi Instagramnya.


Mila gesa pemilik akaun tersebut memohon maaf secara terbuka.

Mila turut memuat naik foto komen individu itu yang mengatakan makanan yang disediakan Bizmilla Catering tidak sedap disebabkan menggunakan khidmat tukang masak dari Indonesia.

Sebelum ini, Kementerian Sumber Manusia menggesa semua restoran di Malaysia mengambil tukang masak tempatan untuk bekerja di restoran masing-masing mulai 1 Julai depan.

Menterinya, M. Kulasegaran berkata, bagaimanapun semua pengusaha akan diberi tempoh sehingga hujung tahun ini untuk memastikan hanya tukang masak tempatan saja bekerja di restoran mereka dan peraturan baru itu akan dikuatkuasa bermula 1 Januari 2019.

Mila yang mempunyai sebuah restoran menganggap netizen boleh berkata-kata namun yang melalui perkara itu hanya pihak yang mengusahakan kedai makan.

"Netizen boleh cakap apa sahaja kami pengusaha restoran tomyam/nasi campur yang faham apa yang bakal berlaku.

"Nasib kami sebagai peniaga siapa pula yang nak ambil peduli?" soalnya.






Mila mengajak peniaga Melayu turut serta dalam perjumpaan bersama kementerian dan kerajaan.

Dalam pada itu, Mila menyeru semua pengusaha restoran tomyam di Malaysia turut serta dalam perjumpaan yang akan diadakan dengan pihak kementerian dan kerajaan.

Menurutnya, perjumpaan tersebut diadakan bagi menyuarakan pendapat mengenai permasalah yang sedang dihadapi peniaga Melayu menjalankan perniagaan restoran.

"Ayuh kita berganding bahu agar suara dan pendapat kita sebagai peniaga Melayu yang menjalankan perniagaan restoran dapat didengar oleh pihak kementerian," katanya.

Mila kini menjalankan perniagaan merangkumi produk kecantikan, pakej perkahwinan, kedai makan dan pakaian.

Selain Mila, chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan turut beranggapan tindakan kerajaan menyekat tukang masak luar bekerja itu tidak wajar dilaksanakan.

Post a Comment

Previous Post Next Post