Selepas 10 tahun berkahwin, Adam Corrie dan Fazima kini berdebar menanti detik kelahiran anak sulung mereka pada Julai depan.
Selepas mendirikan rumah tangga selama 10 tahun, pelakon Adam Corrie Lee dan isteri, Fazima Fuad kini baru berpeluang menikmati fasa teruja untuk bergelar ibu bapa buat kali pertama.
Pada usia kandungan si isteri sudah memasuki bulan ketujuh, mereka kini hanya perlu menanti sekitar dua bulan lagi untuk mereka memegang gelaran ibu dan bapa.
Fazima dijangka bersalin pada Julai depan dan mereka kini sibuk membuat persediaan untuk melalui gerbang baharu dalam kehidupan berkeluarga.
Ikuti temu bual bersama Adam Corrie ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Akademi Fantasia di Hotel Palace of The Golden Horses, Sungai Besi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
KOSMO!: Tahniah Adam Corrie apabila bakal bergelar bapa tidak lama lagi. Boleh kongsikan sedikit mengenai perasaan anda ketika ini?
ADAM CORRIE: Sudah tentu saya teruja dan berdebar kerana ini merupakan kali pertama bakal bergelar bapa. Tinggal dua bulan sahaja lagi dan saya sudah bersedia untuk itu. Malah, saya juga sudah bersedia untuk berjaga malam.
Saya selalu mendengar rakan-rakan terdekat memberitahu tentang karenah bayi yang akan kerap bangun pada waktu malam. Untuk itu, saya melatih diri dengan bangun mengerjakan solat sunat tahajud pada pukul 4 pagi.
Bilakah isteri dijangka bersalin dan boleh kongsikan jantina bayi anda nanti?
Jika diikutkan, isteri saya bakal bersalin pada awal atau pertengahan Julai depan di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri(Kuala Lumpur). Bagi jantina dan nama yang menjadi pilihan pula, saya memilih untuk merahsiakannya terlebih dahulu.
Sepanjang tempoh kehamilan, adakah isteri mengidam makanan tertentu?
Sejujurnya isteri tidak mengidam sangat tetapi ia lebih kepada saya. Saya mengidam mahu merasai makanan dari Utara tanah air dan tidak tahu mengapa saya teringin sangat.
Saya mengalami fasa ini sejak dua bulan lalu tetapi kini sudah beransur normal.
Bagaimanakah persediaan kalian untuk menyambut orang baharu dalam keluarga?
Setakat ini, kami beli barangan kelengkapan bayi sedikit demi sedikit dahulu. Saya cuma nasihatkan isteri untuk banyak berdoa supaya proses kelahiran nanti dipermudahkan.
Adakah sudah bersedia untuk berkongsi wajah anak anda selepas kelahirannya nanti?
Sejujurnya saya tidak akan berkongsi wajah anak terlebih dahulu. Biarlah bayi itu selesa dalam dua hingga tiga bulan dan selepas itu, barulah saya akan berkongsi wajahnya.
Selain itu, guru saya juga berpesan supaya menyegerakan akikah seawal kelahiran bagi melepaskan beban anak supaya dia tidak meragam nanti.
Mengenai cara didikan anak, adakah anda meminta pendapat daripada rakan terdekat atau keluarga tentang perkara tersebut?
Setakat ini, saya tidak meminta pendapat daripada rakan. Cuma saya hanya berpandukan hadis dalam cara mendidik keluarga. Seboleh-bolehnya saya akan cuba mengelak daripada memberi gajet kepada anak saya nanti.
Gajet bukan tidak bagus. Saya cuba elakkan untuk memberi gajet sekiranya dia meragam. Jika saya beri, saya akan pastikan mempunyai had masa tertentu.
Apa perancangan anda sepanjang Ramadan tahun ini?
Pada kebiasaannya saya sudah bersedia pada enam bulan sebelum ketibaan Ramadan seperti yang sering dilakukan oleh sahabat-sahabat Nabi. Hal ini kerana kita tidak tahu bila lagi kita akan bertemu bulan paling mulia tersebut. Sejak beberapa tahun lepas, saya sudah mengamalkan untuk tidak akan bekerja ketika tibanya bulan Ramadan kerana mahu fokus mengerjakan ibadah.
Boleh kongsikan perkembangan terkini anda?
Saya bakal muncul dalam sebuah filem aksi yang memulakan penggambarannya sekitar Julai nanti. Buat masa ini, tajuknya belum dapat dikongsikan.