Aaron Aziz gagal buang sikap degil


Aaron Aziz tidak menjadikan penyakit saraf membabitkan urat di bahu kiri yang dialaminya sebagai penghalang untuk meneruskan karier lakonannya.

Pelakon Datuk Aaron Aziz seorang yang degil kerana tetap menerima tawaran lakonan filem aksi walaupun penyakit saraf membabitkan urat di bahu kirinya sejak empat tahun lalu masih belum pulih.

Aaron, 42, berkata, isterinya, Datin Diyana Halik juga sering membebel kerana kedegilannya itu namun dia tidak dapat menahan diri kerana perasaan rindu mahu berlakon dalam filem aksi.

"Isteri saya sebenarnya marah apabila saya mahu kembali berlakon dalam filem aksi tetapi saya degil.

"Bukan apa rindu hendak buat benda-benda aksi selain cabaran berlakon filem aksi berbeza daripada genre lain," katanya.


Aaron kini sedang menjalani penggambaran filem JB Pailang.

Bagaimanapun kata Aaron, menyedari keadaan kesihatannya yang tidak menentu dia memastikan mengambil langkah pencegahan selain lebih berhati-hati agar kecederaannya tidak berulang.

"Bukanlah saya langsung tidak fikir keselamatan diri dan bersikap semberono sahaja sebaliknya pelbagai langkah keselamatan saya ambil untuk pastikan tiada perkara buruk berlaku.

"Jika saya terus melayan sakit yang sudah berlarutan agak lama ini mungkin satu kerja pun takkan jadi.

"Sebab itu saya kuatkan juga semangat tetapi saya utamakan kesihatan diri dan ambil langkah berjaga-jaga," katanya.






Aaron Aziz.

Tambah Aaron, sekiranya berasa sakit dia akan terus baring dan memakai pendakap leher bagi melegakan kesakitan selain membaca ayat-ayat al-Quran sebagai pelindung dirinya.

"Apabila sudah beberapa tahun mengalami sakit ini saya sudah tahu cara untuk mengurangkan kesakitan selain mengelak mengangkat barang-barang berat.

"Paling mustajab adalah membaca ayat suci al-Quran sebagi ikhtiar menyembuhkan penyakit yang saya anggap ini sebagai ujian kepada saya. Alhamdulillah ia berkesan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aaron berkata, dia kini sibuk di lokasi penggambaran filem JB Pailang arahan Raja Mukhriz.

Post a Comment

Previous Post Next Post