Ziana Zain Cukup 20 tahun


Sebagai penghibur yang cukup terkenal, Ziana Zain cukup bijak menyembunyikan kemelut dalam rumah tangganya selama 20 tahun.

Tidak pernah mendedahkan atau berkongsi kisah hitam rumah tangganya kepada umum, Ziana Zain selalu memberi gambaran bahawa kehidupannya bersama suami, Armin Zaharin dan anak-anak mereka, empat orang cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9, hidup rukun serta aman damai.

Sementelah, bintang terkenal itu sendiri memberi gambaran kepada media bahawa beliau tidak suka mengetengahkan keluarganya kecuali memberi fokus kepada bidang seni.

Sejak berkahwin pada Mei 1998, belum pernah ada media yang dapat merakamkan gambar Ziana, 50, sekeluarga sama ada untuk sesi fotografi Aidilfitri.

Dua bulan lalu, saat berita suami penyanyi itu ditangkap kerana mencederakan salah seorang anak lelakinya tersebar, ia cukup mengejutkan khalayak. Tidak ada yang dapat menghidu Ziana yang juga meminta cerai selepas kejadian itu sebenarnya mengalami masalah rumah tangga kronik yang disifatkannya sendiri sebagai rumahku nerakaku.

Namun bertitik tolak daripada insiden tersebut, satu persatu kisah rumah tangga yang disimpan rapi selama ini dibuka termasuk memberitahu, Armin pernah meletak cili pada kemaluan salah seorang anaknya.

Ziana yang ditemui media di Mahkamah Rendah Syariah, Shah Alam berhubung kes permohonan cerainya terhadap bekas juruterbang berusia 53 tahun itu mendedahkan tentang isi hati dan tindakan nekadnya untuk hidup sebagai ibu tunggal.

Sejak bila sebenarnya Ziana mengalami masalah rumah tangga dan melihat perubahan Armin sebagai lelaki yang panas baran?

Sebenarnya perubahan sikap Armin sudah berlaku sejak empat bulan pertama selepas kami berkahwin. Saya memberi peluang dan ruang kerana percaya bahawa bukan senang untuk dua kepala menjadi satu.

Bagaimanapun, semakin lama saya berdiam diri, dia tidak pernah berubah, malah menjadi semakin teruk.

Apa yang menyebabkan Armin bersikap demikian?

Saya tidak pasti. Mungkin dia berasa kurang yakin diri. Bagaimanapun, keluarganya sendiri pernah bercakap kepada saya benarkah mahu bernikah dengan dia kerana sikap panas barannya. Begitu juga dengan saudara-maranya.

Sejujurnya saya menerima dia sepenuhnya tetapi sekarang sudah tidak tahan lagi. Dia tidak bekerja dan tiada inisiatif ke arah itu untuk mencari nafkah. Malah selepas tiga tahun berhenti kerja, dia masih di rumah tanpa bekerja.

Sejak berkahwin dia cuci tangan sebab rumah dan kereta semua saya ada. Kemudian, saya yang banyak mencukupkan banyak hal termasuk nafkah untuk anak-anak.

Tapi saya anggap itu rezeki rumah tangga. Saya tidak mengungkit, cuma selepas apa yang berlaku, cukuplah 20 tahun saya bersabar.

Sebenarnya apa yang anda inginkan pada ketika ini?

Saya mahu hidup gembira untuk diri sendiri dan anak-anak. Saya sudah bulatkan hati dan tidak akan tarik balik permohonan penceraian yang telah dibuat.

Saya sedar ada pasangan yang jodohnya hanya dipisahkan oleh cangkul dan tanah. Ada juga jodoh yang dipinjamkan Allah untuk tempoh 20 sehingga 30 tahun. Saya reda.

Pada usia 50 tahun, saya sudah cukup menahan segalanya termasuk perkara-perkara yang buruk. Saya sudah tidak larat. Jika saya masih bertahan, saya dan anak-anak boleh jadi gila. Saya mengalami penderaan mental dan tidak pernah bahagia selama 20 tahun ini.





Bagaimanakah dengan anak-anak?

Anak-anak sangat gembira dengan keputusan saya. Dia pernah meletak cili pada kemaluan anak saya yang masih kecil. Selama ini mereka selalu bertanya dan mendesak saya untuk membuat keputusan kerana tidak tahan diperlakukan dengan kejam dan dilemparkan kata-kata kesat daripada ayah mereka.

Salah seorang anak saya pernah berkata, sepatutnya seorang isteri perlu dilayan dengan baik dan pernah cakap tidak akan maafkan cara ayah mereka melayan saya. Sekarang mereka sangat gembira kerana tidak perlu tinggal bersama ayah mereka lagi.

Doktor memberitahu, anak-anak mengalami stress dan trauma terhadap apa yang berlaku di dalam rumah tangga saya kerana mengikuti rawatan psikiatri susulan kemelut rumah tangga.

Apa yang anda harapkan selepas ini?

Saya harap khalayak berfikir mengapa selepas 20 tahun baru saya ambil tindakan seumpama ini. Maksudnya saya sudah tidak tahan. Anak-anak juga sudah tidak boleh tinggal sebumbung lagi dengan dia.

Orang boleh cakap apa mereka mahu sebab tidak duduk dalam rumah tangga saya. Anak-anak saksikan semua kejadian. Saya bagaimanapun tidak ralat dengan jalan rumah tangga saya kerana telah 20 tahun berbakti sebagai isteri kepada dia.

Post a Comment

Previous Post Next Post