Zahirah Macwilson tiada masa bersedih


Sejak melangkah masuk ke dalam industri hiburan sekitar tiga tahun lalu, pelakon tinggi lampai, Zahirah Macwilson dikenali sebagai seorang wanita yang berpendirian teguh dan mempunyai prinsip sendiri.

Biarpun baru berusia 23 tahun, Zahirah yang mesra disapa Ira tidak menjadikan faktor umur sebagai alasan untuk dia dilayan seperti budak-budak dan sentiasa memastikan dirinya kelihatan matang saat berdepan apa situasi sekalipun.

Oleh sebab itu, ketika terlerainya ikatan cinta selama tiga tahun antara dia dan aktor kacak, Zul Ariffin hampir sebulan lalu, pelakon Tiada Cinta Sepertimu itu kekal tenang dan tidak cepat melatah.

Meskipun berdepan tuduhan yang agak berat daripada Zul yang mendakwa dia berswafoto berhampiran dengan jenazah ibu lelaki tersebut, Robiah Nasir, Zahirah memberitahu, dia sudah memaafkan bekas kekasihnya itu.

“Saya anggap sahaja pada waktu itu dia sedang bersedih dan emosi. Maka apa yang dilihat itu mungkin memberikan persepsi salah kepadanya. Buat apa hendak bertekak soal itu, kami berdua juga sudah tidak bersama.

“Lebih baik saya fokus dengan kehidupan di masa hadapan. Apa yang berlaku, sudah pun terjadi dan tidak boleh diubah jadi saya pilih untuk biarkan ia berlalu. Tidak perlu diungkit lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi baju raya Zahirah Macwilson For Starvillion di Achare 18. Shah Alam, Selangor baru-baru ini.





Jadual penuh

Jika kebanyakan wanita lain mengambil masa untuk memulihkan luka di hati apabila putus cinta, berbeza pula dengan Zahirah yang melihat status solonya sebagai satu peluang keemasan untuk bekerja keras.

Berbeza dengan dua tahun lepas yang menyaksikan dia memperlahankan aktiviti seni sewaktu bulan Ramadan, si cantik kacukan British dan Melayu itu mengakui kali ini dia memadatkan jadual kerja sepanjang puasa dengan penggambaran.

Enggan berada di rumah dan melayan perasaan, anak sulung daripada empat beradik ini berasa perbuatan itu tidak mendatangkan manfaat kepadanya. Sementelah, kata Zahirah, usianya masih terlalu muda untuk meratapi soal cinta.

“Saya baru berusia 23 tahun, putus cinta itu perkara biasa rasanya untuk semua orang yang sama usia dengan saya. Cuma saya seorang selebriti, jadi kisah cinta itu mendapat perhatian yang lebih, itu sahaja.

“Memang saya ada juga bersedih namun tidak lama kerana saya tahu, perjalanan hidup ini masih jauh. Jadi, sepanjang bulan puasa saya memang sibuk bekerja bagi menghabiskan penggambaran drama slot Akasia, Jangan Benci Cintaku bersama Saharul Ridzwan,” terangnya panjang lebar.

Tambahnya lagi, dia menjadikan kegagalan cinta sebagai motivasi untuk lebih berusaha keras bagi mengukuhkan tapak dalam dunia lakonan dan berdiri di atas kaki sendiri serta tidak dikaitkan lagi dengan mana-mana pihak.

“Saya terasa lebih bebas untuk membuat kolaborasi baju, muncul di majlis-majlis hiburan dan paling penting mula menanamkan keyakinan dalam penonton untuk bakat lakonan yang ada,” jelasnya lagi.

Raya

Menyentuh sedikit soal sambutan hari raya Aidilfitri bagi tahun ini, Zahirah seperti biasa akan terbang pulang ke Perth, Australia bagi menyambut lebaran di sana bersama keluarga ibunya.

Bakal bercuti selama dua minggu bermula seminggu sebelum raya, graduan Universiti Curtin, Perth itu memberitahu, biarpun beraya di perantauan, namun suasananya masih sama seperti di Malaysia.

Tradisi solat raya bersama-sama serta aktiviti bermaafan masih diteruskan memandangkan komuniti masyarakat Melayu di Perth agak ramai dan hubungan silaturahim sesama mereka rapat seperti keluarga.

“Ibu juga mempunyai saudara yang menetap di sana, maka tidak terlalu terasa perasaan raya di perantauan itu. Juadah raya juga sama seperti di Malaysia seperti ketupat, rendang, sate dan lontong.

“Perbezaan raya kali ini mungkin berkaitan pertambahan ahli keluarga baharu iaitu ayah tiri saya yang telah berkahwin dengan ibu pada April lalu. Selebihnya, sambutan Syawal kekal serupa,” ujarnya menutup perbualan.

Post a Comment

Previous Post Next Post