Tun M di mata Kevin Zahri


Berpeluang bertentang mata dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Wacana Sinar Harian ke-53, 22 Mac lalu, merupakan pengalaman berharga buat selebriti dan jurulatih kecergasan terkenal, Kevin Zahri.

Kevin yang juga panel dalam wacana berjudul ‘Apakah Tun M Terlalu Tua untuk Jadi PM?’ itu berkata, beliau dapat melihat keikhlasan Mahathir ketika berbicara dengan negarawan itu.

“Ia satu pengalaman yang memberi inspirasi. Saya jumpa ramai orang dan saya suka nilai personaliti mereka.

“Agak ‘rare’ berjumpa orang seperti Tun yang beri impak begitu besar dan bermakna. Kenapa? Kerana saya boleh nampak keikhlasan apabila lihat mata Tun ketika bercakap dengannya,” katanya dalam video dimuat naik di Facebooknya, semalam.

Menurut Kevin, dia amat mengagumi semangat Mahathir yang memperjuangkan pendiriannya di usia emas.





“Jika tokoh berusia 93 tahun boleh berjuang untuk negara, kenapa kita sebagai warganegara muda dan bertenaga tidak boleh bangkit baiki negara? Ini bukan soal kena pilih parti A atau B, tetapi buat sebaiknya dalam persekitaran kita.

“Anda tak semestinya perlu jadi ahli politik tetapi dapatkan inspirasi orang seperti Tun M,” katanya.

Kevin juga menegaskan video dimuat naiknya itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.

“Saya bukan ahli mana-mana parti politik,” katanya.

Selain Kevin, wacana itu turut menampilkan Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff dan pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki. Manakala, Nazri Kahar dari Astro Awani selaku moderator.

Mahathir membuat kejutan apabila muncul di pertengahan program bagi mengikuti sendiri wacana tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post