
Selepas dua tahun berehat daripada sebarang single baharu, penyanyi Misha Omar kembali merancakkan arena seni suara dengan kemunculan buah tangan terkininya berjudul Sampai Bila.
Lagu yang dihasilkan oleh Sharon Paul serta lirik daripada Fedtri Yahya dan Shah Shamsiri itu telah pun dilancarkan di semua platform digital sebentar tadi.
"Assalamualaikum kawan-kawan. Akhirnya lagu terbaharu saya Sampai bila telah pun berada di semua platform digital. Terima kasih diucapkan kepada kawan-kawan di Instagram yang sudah dengar lagu ini. Sesungguhnya saya sangat terharu dengan sambutan daripada kalian," tulisnya di Instagram.
Meskipun terkenal dengan kebolehan menyampaikan lagu-lagu bernada tinggi, pelantun lagu Bunga-bunga Cinta itu mengakui tetap menghadapi cabaran tersendiri membawakan lagu tersebut.
"Antara cabaran terbesar menyanyikan lagu Sampai Bila adalah tempo dan momentum antara lirik serta lagunya agak laju," tulisnya.
Kali terakhir Misha tampil dengan lagu baharu adalah pada 2016 berduet dengan Hafiz Suip menerusi lagu Terimaku Seadanya.