Sasha Saidin kembali bercinta


Bertemy dengan penyanyi Sasha Saidin dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini, dia bukan sahaja hadir dengan cerita album Kerana Cinta yang dilancarkan semula tetapi berkenaan hatinya yang telah pun dimiliki.

Mungkin kerana kegagalan dua buah perkahwinan sebelum ini, pertama dengan lelaki England, Johan Abdullah Skinner dan kedua bersama lelaki Indonesia, Salyo Priyanto Nutosoemarsono sehingga dikurniakan seorang anak lelaki, Adam Aryasenna Notosoemarsono, 9, Sasha mengamalkan dasar tertutup berkenaan kehidupan peribadinya.

Berhati-hati dengan kata-kata, wanita yang telah bergelar ibu tunggal selama enam tahun itu bagaimanapun mengakui hatinya kini kembali berbunga cinta, sementelah sedang intim bersama seorang lelaki yang merupakan kenalan ketika zaman persekolahannya.

“Tipulah kalau saya kata tiada lelaki cuba untuk rapat, namun tiada yang serius. Mungkin kerana status ibu tunggal kepada seorang anak, orang takut hendak dekat. Namun, saya langsung tidak bimbang soal untuk berkahwin semula, sebaliknya menjalani kehidupan seperti biasa.

“Cuma saya memang dekat dengan seorang lelaki yang merupakan kenalan dari zaman sekolah. Kami berkawan baik dan boleh kongsi nasihat dan pelbagai perkara dalam apa jua situasi. Kami berdua tidak tergesa-gesa untuk membawa hubungan ini ke peringkat seterusnya,” katanya membuka bicara

Bukan tidak mahu berkongsi kisah bahagia bersama peminat, sudah menjadi prinsipnya selagi ikatan tersebut belum sah adalah lebih baik untuk tidak menghebahkan perkara tersebut. Bagaimanapun andai ditakdirkan dia bertemu jodoh buat kali ketiga, Sasha tidak keberatan untuk berkongsi berita gembira itu bersama peminat dan media.

Namun, sebagai wanita yang telah berkahwin sebanyak dua kali, Sasha mahu perkahwinan ketiganya berlangsung secara sederhana. Apatah lagi sejak bergelar ibu tunggal, Sasha sudah terbiasa dengan kehidupan sederhana dan ringkas.

“Saya memang tidak suka menghebahkan kisah cinta dan mendedahkan perkara berkaitan kehidupan peribadi. Jika ditakdirkan berkahwin lagi, saya akan kongsi berita tersebut dengan semua orang. Andai perkahwinan berlaku ia akan berlangsung secara sederhana.

“Saya bayangkan, mungkin majlis akad nikah akan berlangsung di pejabat kadi dan dihadiri oleh keluarga serta teman rapat. Bukan apa, saya sudah merasa perkahwinan yang diadakan secara besar-besaran.

“Sekarang matlamat perkahwinan untuk saya sudah berbeza iaitu mencari teman hidup. Jika ada wang, lebih baik buat simpanan untuk anak dan pergi melancong daripada membazir dengan mengadakan majlis perkahwinan serba mewah,” ujarnya.





Mahu anak

Berbicara lanjut tentang cerita perkahwinan, Sasha mengakui sejak kebelakangan ini ramai orang bertanya perkara tersebut kepadanya. Selain mencari teman hidup, matlamat utamanya untuk berkahwin semula adalah menimang cahaya mata.

Melihat kebahagiaan adiknya pelakon Zain Saidin dan isteri, Rozita Che Wan bersama anak kecil mereka, Aaisyah Dhia Rana, 4, menambahkan lagi keyakinannya untuk berumah tangga, meskipun usianya sudah mencecah angka 42 tahun.

“Sebenarnya umur bukan isu dan situasi orang berbeza-beza. Kadangkala usia muda tetapi fikiran jauh lebih matang, begitulah sebaliknya. Kalau saya hendak berkahwin lagi, pun sebab mahukan anak. Saya lihat rakan-rakan seusia seperti Linda Rafar pun masih ada anak kecil.

“Mungkin dengan teknologi sekarang, risiko untuk wanita berusia memiliki anak tidaklah tinggi seperti dahulu. Menjadi impian jika ditakdirkan hamil, saya mahu ada suami di sebelah yang sentiasa bersama pada saat jatuh bangun dan besarkan anak.

“Apa pun, sebagai manusia kita hanya boleh merancang. Ketentuan jodoh di tangan Allah, apa yang saya boleh lakukan hanya berdoa agar diberi kehidupan yang lebih baik untuk saya dan anak,” kongsi Sasha panjang lebar.

Sungguhpun begitu, Sasha tidak tertekan untuk menamatkan status ibu tunggal dalam kadar segera. Paling penting adalah menyediakan keperluan terbaik buat anak lelaki tunggalnya.

“Soal status janda atau ibu tunggal saya tidak fikir langsung. Sejak bercerai, saya sibukkan diri dengan kerja seni dan projek amal. Boleh dikatakan saya ibu sepenuh masa dan selebriti separuh masa. Pejam celik sudah enam tahun saya hidup bersendirian.

“Saya tidak sunyi kerana tinggal berdekatan dengan ibu dan dikelilingi keluarga. Mungkin ini juga peluang untuk saya menjaga ibu sebaik mungkin kerana tidak terbeban dengan urusan rumah tangga. Jadi, saya sentiasa berfikir positif,” kata Sasha.

Kerana Cinta

Menyentuh tentang album Kerana Cinta yang dilancarkan pada 1 April lalu, tutur Sasha, album tersebut merupakan album yang sama dikeluarkan pada tahun 2007. Bagaimanapun, disebabkan oleh beberapa kekangan seperti kesuraman pasaran muzik tempatan, cetak rompak dan ditipu oleh pengurus peribadi, album yang diterbitkan oleh Sasha sendiri itu tidak dapat pergi jauh.

Justeru, dengan kecanggihan teknologi hari ini, Sasha berasa sudah sampai waktunya untuk mengeluarkan kembali album tersebut bagi dipasarkan di platform digital seperti Spotify dan iTunes. Album tersebut dijual pada harga RM19.90.

“Sewaktu album Kerana Cinta dikeluarkan pada tahun 2007 orang sibuk dengan internet. Pasaran muzik tempatan agak teruk kerana muat turun lagu secara haram. Walaupun sudah mengadakan majlis pelancaran dan album itu sempat dijual di kedai muzik, saya pula berpindah ke Indonesia selama setahun selepas berkahwin kali kedua.

“Secara tidak langsung album tersebut terperam. Sekarang dengan platform digital lebih mudah. Album ini boleh dijual di seluruh dunia. Alhamdulillah, sejak dilancarkan semula saya menerima respons positif daripada peminat bukan sahaja di Malaysia, tetapi di England, Indonesia dan Afrika Selatan,” kata Sasha.

Album yang mengandungi 12 buah lagu dan sebuah puisi itu mempertaruhkan karya pemuzik handalan dari Malaysia dan Indonesia seperti DJ Uno, Zain Ruffedge, Yovie Widianto, Noh Hujan, Hang Dimas, Amer Munawer, Rif’at S. Fachir dan Satrio daripada kumpulan Maliq & D’Essentials, AJ serta Alif.

Jika pada tahun 2007, Sasha mempertaruhkan lagu Merenda Kasih nyanyian asal Ruth Sahanaya sebagai single pertamanya, kali ini dia memilih lagu sarat elemen jazz berjudul Jatuh Cinta.

Biarpun genre jazz tidak begitu mesra dengan pendengar muzik Malaysia berbanding lagu pop dan balada, Sasha yakin dengan pilihan hatinya.

“Sebenarnya sejak dahulu saya suka dengan lagu Jatuh Cinta ciptaan Rif’at S. Fachir dan Satrio daripada kumpulan Maliq & D’Essentials yang terkenal di Indonesia. Namun, dahulu saya mengikut kata pengurusan yang mahukan lagu balada sebagai single.

“Kali ini disebabkan menguruskan semuanya sendiri, jadi saya mengikut kata hati memilih lagu Jatuh Cinta sebagai single. Diharap peminat juga akan menyukai lagu ini yang cukup ringkas dan santai,” ujarnya yang kini turut aktif sebagai pengacara televisyen.

Post a Comment

Previous Post Next Post