Janna Nick berbisnes untuk masa depan


Biarpun ligat berlakon, Janna Nick mengakui dia memperoleh lebih banyak pendapatan hasil daripada duit perniagaan yang dijalankannya sejak dua tahun lalu.

Sejak kebelakangan ini, ramai selebriti tempatan dilihat mengambil kesempatan menggunakan populariti yang dikecapi untuk mencuba nasib dalam bidang perniagaan.

Pada hemat mereka, berbekalkan pengikut yang ramai dalam media sosial, setiap produk dan servis yang dibangunkan pasti mendapat sambutan dalam jangka masa yang singkat.

Ada dalam kalangan selebriti berniaga tudung, pakaian dan tidak kurang juga ada yang turut membuka salon, pusat kecantikan dan kafe menjual makanan.

Sungguhpun begitu, tidak banyak perniagaan yang dijalankan oleh artis mampu bertahan dalam tempoh masa yang panjang dan terpaksa gulung tikar hanya selepas beberapa bulan sesuatu produk atau servis itu menjengah pasaran.

Hal tersebut yang dikhuatiri oleh Janna Nick ketika membangunkan produk kecantikan kulit dan rambut berasaskan minyak Argan iaitu Sephia by Janna Nick sekitar dua tahun lalu.

Disebabkan bimbang syarikatnya Sephia Beauty tidak boleh pergi jauh, Janna atau nama sebenarnya, Nurul Jannah Muner, 23, tidak mahu membazirkan wang modal untuk tujuan promosi. Sebaliknya, pelakon drama My Coffee Prince itu menggunakan tempoh dua tahun tersebut semata-mata untuk menjual produk.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran Sephia by Janna Nick di ibu kota baru-baru ini, Janna turut menjelaskan, bidang perniagaan yang diceburi adalah sebagai satu jaminan masa depan, khususnya jika dia tidak mampu untuk berlakon pada masa akan datang.

KOSMO!: Janna, anda telah melancarkan produk kecantikan Sephia by Janna Nick secara ‘senyap’ pada 1 Jun 2016. Namun setelah hampir dua tahun berlalu, baru kini Sephia by Janna Nick dilancarkan secara rasmi. Mengapakah anda mengambil masa yang agak lama untuk memperkenalkan produk anda sendiri secara rasmi kepada orang ramai?

JANNA: Sebenarnya, saya sengaja berbuat demikian kerana saya jenis yang sangat kedekut untuk mengeluarkan belanja. Jadi, saya fokus dahulu kepada jualan produk menerusi Instagram dan hanya melancarkan jenama ini selepas saya mendapat keuntungan. Alhamdulillah, setelah dua tahun, jenama Sephia by Janna Nick masih mendapat tempat dalam hati pembeli.





Ramai artis berniaga kerana mahu mengikut trend dan kebanyakan produk yang mereka dagangkan juga adalah produk-produk klise seperti tudung, baju, minyak wangi dan gincu bibir. Apakah sebab utama anda memilih untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan menjual minyak Argan?

Saya jadikan bidang perniagaan ini sebagai sumber pendapatan tambahan. Ia tidak bermakna bidang lakonan gagal memberi pendapatan lumayan. Cuma, duit berlakon banyak dihabiskan untuk membeli baju dan perhiasan. Jadi, pendapatan daripada bisnes saya simpan untuk masa depan. Mana tahu nanti saya patah kaki atau tangan sehingga tidak boleh berlakon, sekurang-kurangnya saya ada duit simpanan.

Berkenaan minyak Argan, saya sengaja memilih produk tersebut untuk dijual kerana yakin ia baik untuk kita dan tidak terlalu mahal untuk dibeli.

Dalam erti kata lain, adakah anda sudah mampu untuk hidup tanpa pendapatan daripada bidang lakonan?

Alhamdulillah, sepanjang dua tahun saya memasarkan produk, boleh dikatakan pendapatan daripada bisnes melebihi pendapatan bidang lakonan.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna saya banyak duit. Saya juga perlu membayar keperluan lain seperti komitmen rumah dan kereta secara bulanan.

Jika begitu, tentu bakal suami anda akan ‘cuci kaki’ selepas berkahwin. Semua seperti sudah tersedia jika bernikah dengan anda?

Sejujurnya, saya akui sukar untuk mencari jodoh. Mungkin saya tidak suka bergaul dengan orang dan jarang bersosial.

Pernah terfikir suami bagaimana yang anda mahukan? Adakah golongan kebanyakan atau mereka yang berduit?

Saya takut juga dengan lelaki kaya sebab ramai yang kata golongan ini senang membeli perempuan dengan duit. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran terhadap latar belakang lelaki pilihan. Biarlah tidak berharta asalkan rajin berusaha.

Sekurang-kurangnya dia boleh menolong saya untuk menjalankan perniagaan.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

Saya kini dalam proses penggambaran drama bersiri Hingga Ke Jannah bersama pelakon Fahrin Ahmad. Kemudian, saya akan sambung dengan drama bersiri berjudul Leftenan Janna.

Post a Comment

Previous Post Next Post