Mawi berbekalkan pengalaman DJ kenduri kahwin, pasar raya


Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi mengakui kini semakin selesa bergelar penyampai radio yang suatu ketika dahulu pernah menjadi cita-citanya sebelum menceburi bidang seni.

Selepas enam bulan bertugas di konti radio Zayyan (104.9fm), Mawi atau Asmawi Ani, 37, menyifatkan tugas baharunya itu sebagai sesuatu yang cukup menyeronokkan.

“Siapa sangka selepas 12 tahun menceburi dunia seni, baru sekarang saya berpeluang jadi penyampai.

“Mungkin ramai yang tak tahu, dari dulu saya sebenarnya simpan impian nak jadi DJ atau penyampai radio, tapi bila masuk AF, tiba-tiba rezeki saya dalam bidang nyanyian pula.

“Jadi bila sekarang dapat buat benda yang saya minat sangat dulu, memang seronoknya lain macam dan kesungguhan pada kerja itu datang dengan sendirinya,“ ujarnya yang mengendalikan slot 6-10 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat.

Menurut Mawi, dia tidak berdepan cabaran besar kerana pengalaman bergelar DJ di rumah kenduri kahwin dan pasar raya banyak membantunya.

“Dari segi tugas di konti, saya tak ada masalah sangat kerana telah mempunyai pengalaman sebelum ini di mana saya mampu mengendalikan pendengar tanpa rasa kekok.

“Alhamdulillah biarpun baru enam bulan radio ini diperkenalkan kepada umum, kami berjaya menarik perhatian golongan sasaran iaitu remaja yang sentiasa inginkan sesuatu yang baharu.

“Cuma kalau boleh disebut sebagai masalah, saya pada awalnya agak sukar nak tukar waktu tidur saya di mana selepas jadi penyampai, saya kena tidur dan bangun awal kerana pada jam 5 pagi, saya dah kena ada di studio,” ujarnya.





Dalam pada itu, penyanyi Aduh Saleha yang ditemui di majlis Pelancaran Program Ramadan Astro 2018 pada Rabu, turut berkongsi tentang imej terbaharunya yang kini tampil berambut panjang.

“Sebenarnya tak ada plan pun nak simpan rambut panjang kerana dah biasa dengan imej botak dan rambut pendek.

“Bagaimanapun selepas Syamsul Yusof minta saya simpan rambut panjang untuk karakter dalam filem Munafik 2, saya tak pernah potong sehingga sekarang.

“Mula-mula tak selesa, tapi bila dah lama rasa macam OK juga rambut panjang sebab saya memang tak pernah simpan rambut sepanjang sekarang ni,” kata Mawi.

Ditanya tentang reaksi isteri tentang imej rambut panjangnya ini, Mawi sambil berseloroh mengatakan dia kini digelar hero filem Tamil.

“Isteri kata saya dah macam hero filem Tamil bila simpan rambut panjang macam ni, peminat pula kata saya macam Shahrukh Khan.

“Apa pun, buat masa ini saya belum terfikir untuk potong sebab rasa macam OK pula.

“Apatah lagi sebelum ini saya tak pernah rasa rambut panjang sampai macam ni, jadi apa salahnya buat benda baru,” ujarnya yang bakal tampil dengan filem sulung terbitan dan arahannya sekitar Oktober depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post