Album - Selain bakal muncul dengan sebuah single baharu berjudul Seperti Mereka yang kini dalam proses pembikinan, Ruffedge turut merancang menghasilkan album penuh.
BAGAI sudah menjadi tabu bagi penyanyi yang bergerak secara berkumpulan, perpisahan atau tempoh situasi vakum (berehat dalam tempoh yang lama) tidak dapat dielak meskipun pernah mencipta populariti luar biasa pada zaman kegemilangan suatu ketika dahulu.
Bertitik tolak daripada beberapa faktor seperti mahu membawa haluan sendiri, alasan sebegitu sudah begitu popular kepada sesetengah ahli band menghentikan komitmen dalam sesebuah kumpulan.
Situasi itu juga yang dihadapi kumpulan R&B popular, Ruffedge. Lebih 10 tahun mereka hilang daripada radar industri hiburan dan merehatkan seketika enjin karier kerana memberi fokus kepada haluan sendiri, mereka kini kembali.
Entah dirancang atau suatu kebetulan, kemunculan Ruffedge pada majlis persandingan pasangan sensasi, Fattah Amin dan Fazura sekitar Februari lalu mencuri tumpuan ramai peminat yang rata-ratanya merindukan mereka untuk kembali beraksi.
Benarlah kata orang, jika rezeki sudah tertulis, ia pasti akan hadir tepat pada waktunya, tidak lambat mahupun cepat walau sesaat. Ternyata kemunculan tersebut adalah petanda membuktikan jenama Ruffedge yang dianggotai Syed Hussein Syed Mustafa (Sein), Syed Mohammad Syed Abdullah (Mode), Farish Zaquan Ramli (Cat Farish), Mohd. Kamaruzaman Zain Abd. Hamid (Zain) dan Azan Addin Abd. Wahab (Azan) masih kukuh dan meniti di bibir peminat setia mereka.
Begitulah percaturan Ruffegde yang tersusun cantik oleh Tuhan. Mereka muncul di pentas Anugerah MeleTOP 2018 (AME2018) yang berlangsung pada awal April lalu.
“Jika diikutkan, kami terlebih dahulu menerima tawaran membuat persembahan di AME2018 sebelum muncul pada persandingan Fattah dan Fazura.
“Bagaimanapun, tidak sangka kemunculan itu menjadi buah mulut orang ramai sehingga tular. Kami menyanyi sekadar atas jemputan rakan, bukannya dirancang. Jadi, dari situ kami lihat betapa cantik aturan Tuhan dalam membuka jalan kepada kami,” ujar Mode, 43.
Di sebalik percaturan tersebut, perasaan sayang terhadap peminat yang masih ada sehingga kini juga menjadi antara alasan untuk semangat mereka kembali membuak-buak.
“Saya masih ingat ada orang beri cadangan supaya kami menyanyi di Danau Kota iaitu tapak penjualan barangan pada waktu malam yang popular dan nanti ia akan menjadi tular. Bagaimanapun, siapa sangka perkara yang tidak dirancang sebaliknya menjadi perhatian orang.
“Satu hal yang membuatkan saya terharu dan bersemangat adalah ketika di pentas AME2018. Saya akui gementar dan persoalkan diri, adakah masih boleh menyanyi? Selepas melihat penonton, terdetik dalam hati bahawa saya sayangkan peminat dan kemunculan ini tidak lain hanya untuk mereka,” luah Azan penuh makna.
Percaturan
Menjadikan tahun 2018 sebagai waktu terbaik membuat kemunculan semula, Ruffedge lantas membuat pengumuman penganjuran konsert Ruffedge: 20th Anniversary Concert yang akan berlangsung pada 4 Ogos depan di KL Live, Kuala Lumpur.
Kata Sein, konsert tersebut dianggap sebagai hadiah kepada peminat yang sentiasa menantikan kemunculan mereka dengan projek mega.
“Secara jujurnya, ini kali pertama Ruffedge tampil dengan konsert biarpun telah 20 tahun berada dalam industri. Lagipun dahulu kami terikat dengan banyak perkara yang membataskan.
“Hal ini sekali gus membuktikan bahawa kami tidak pernah bubar atau berpecah. Segala yang berlaku dahulu hanya disebabkan komitmen masing-masing,” jelasnya.
Sementara itu, Mode pula berkata, sekiranya konsert mereka dianjurkan 10 tahun dahulu, ia mungkin tidak akan jadi seperti sekarang.
Alasan Mode seiring usia yang semakin meningkat, ia menghadirkan kematangan dan pengalaman lebih baik untuk dipersembahkan kepada peminat.
“Kalau dahulu kami buat konsert, saya yakin hasilnya tidak akan sama seperti sekarang. Sebab itu kami katakan, semuanya tentang rezeki dan aturan Tuhan yang penuh rahsia. Dia yang lebih mengetahui waktu terbaik untuk kami kembali bersama,” katanya.
Bebas
Bukan sekadar kematangan yang belum ranum ketika itu, Ruffedge tidak menafikan langkah kaki yang terikat dengan syarikat pengurusan menjadi faktor mereka tidak boleh bergerak bebas.
Peluang bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana syarikat juga disifatkan Ruffedge sebagai ruang terbaik berkongsi kreativiti bersama peminat.
“Saya masih ingat, dahulu syarikat rakaman kata lagu Bila Rindu tidak ada tempat dalam pasaran sehingga kami tidak berpeluang menghasilkan klip video. Klip yang ada dalam laman YouTube sekarang pun inisiatif daripada peminat.
“Namun, lihatlah bagaimana penerimaan lagu tersebut sekarang, sehingga ada peminat generasi baharu pun tahu.
“Ini semua tentang rezeki. Jadi, inilah masanya untuk berkongsi muzik kerana menerusi konsert itu nanti, peminat akan dihidangkan dengan barisan lagu hits yang jarang kami persembahkan kepada khalayak suatu ketika dahulu,” ujar Azan.
Pada persembahan yang berlangsung selama dua jam itu, Ruffedge akan mempersembahkan lebih daripada 10 buah lagu popular mereka seperti Lemas, Khayalan, Tipah Tertipu, Tiada Lagi Cinta dan Bila Rindu.
Ditanya tentang penglibatan seorang lagi anggota mereka iaitu Amer Munawer dalam persembahan itu kelak, Ruffedge memberitahu, segalanya terletak kepada kesempatan dan rezeki.
“Sebagai rakan, sudah tentu kami menantikan kemunculan dia pada malam yang penuh bermakna itu nanti.
“Namun, setakat ini kami tidak dapat memberi sebarang janji yang pasti memandangkan dia kini menetap di Oman. Kita lihat sahaja pada malam itu nanti bagaimana,” jawab Zain sedikit berahsia seraya menutup perbualan.
Tiket-tiket konsert kini masih dijual pada harga RM125, RM143. RM183, RM193 dan RM233 dan boleh didapati menerusi laman www.ticketpro.com.my atau di talian hotline 03-7880 7999.