Karl Shafek takut tengok cermin


Selari dengan peningkatan usianya yang kini menginjak usia 38 tahun, pelakon, pengacara Karl Shafek atau nama penuhnya Khairul Shafek Ibrahim, memberitahu dia takut untuk melihat diri sendiri dalam cermin.

Katanya, ini kerana badannya kelihatan sudah sedikit berisi sejak mengendali program Moreh TV3 yang bersiaran sepanjang Ramadan ini setiap hari Ahad.

“Ya, saya tak nafikan berat badan saya memang tengah naik sekarang sejak buat program Moreh. Saya tak timbang pun lagi dan takut nak tengok cermin,” ujarnya berseloroh.

Pun begitu, Karl Shafek positif kerana yakin berpeluang untuk menurunkan berat badannya semula.

“Tetapi saya tak risau sangat kerana bulan Ramadan ini adalah peluang saya untuk diet semula. Jika berterusan macam ini saya bimbang boleh mendatangkan kemudaratan pada badan nanti,” jelasnya ringkas.

Bercerita mengenai perkembangan terbaharunya pula, anak kelahiran Pahang ini memberitahu dia sudah bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar iaitu sebagai penerbit teater.

“Saya rasa dalam kehidupan kita harus ada peningkatan, justeru saya sudah bersedia untuk mencanai bakat dalam bidang baru iaitu sebagai penerbit teater.

"Mungkin disebabkan rasa cinta yang mendalam dalam bidang teater membuatkan saya benar-benar ingin merealisasikan hasrat yang sudah lama tersimpan itu.





“Namun sebelum itu, saya akan belajar terlebih dahulu mengenai selok-belok penerbitan teater sebelum berani untuk bikin teater.

"Untuk permulaan, saya tak kisah sama ada dalam bentuk teater berskala besar ataupun kecil, janji ia memuaskan hati saya, cukup dah," katanya.

Dalam pada itu, memandang lebih jauh ke hadapan, Karl Shafek juga mengidamkan untuk mempunyai sebuah panggung teater sendiri.

“Ya, selain menjadi penerbit, saya juga memasang impian untuk mempunyai sebuah panggung teater sendiri. Bila dah ada panggung ini nanti, saya harap dapat membantu anak-anak seni untuk berkarya dan meneruskan minat mereka itu," katanya positif.

Antara teater yang pernah Karl Shafek jayakan adalah teater Ombak Rindu: Tiada Penghujung, 1 Plastik Hitam, Maduku Kalut, Kawan-Kawan Yang Kita Suka dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck.

Post a Comment

Previous Post Next Post