Hamil Fiza Frizzy mengidam ondeh-ondeh


Bernikah dengan pemain bola sepak Kuantan FA, Fazli Zulkifli pada 18 Februari lalu, pengacara Fiza Frizzy atau nama sebenarnya, Nur Hafizah Md. Saad mendedahkan bahawa dirinya kini hamil sebulan.

Ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran Festival Ramadan Putrajaya 2018 baru-baru ini, pengacara program CJ Wow Shop itu berkata, buat masa sekarang dia tidak mengalami sebarang alahan teruk namun mengidam makanan yang bukan-bukan.

Mengulas tentang kerjayanya sebagai seorang pengacara, Fiza, tidak berniat untuk merahsiakan pernikahannya dengan suami namun sedar diri bahawa dia tidak popular seperti selebriti lain. Katanya, dia berada dalam industri hanya ingin mencari sesuap nasi bukan mengejar populariti.

KOSMO!: Ramai yang tidak mengetahui Fiza telah melangsungkan perkahwinan Februari lalu. Apa alasan anda?

FIZA FRIZZY: Saya bukan artis popular, jadi segan juga mahu menguar-uarkan kepada media. Siapa yang tahu, tahulah. Saya tidak menyembunyikan perkahwinan. Lagi pun, saya buat majlis kecil-kecilan dan hanya menjemput sekitar 300 orang tetamu. Kenduri sebelah lelaki pula dilangsungkan baru-baru ini. Memang saya merancang mengadakan kenduri secara sederhana dan tidak mahu bermewah-mewah bagi mengelakkan pembaziran. Saya nikah tempoh hari hantarannya hanya telekung, senaskhah al-Quran dan sejadah. Saya lebih pentingkan kehidupan selepas berkahwin kerana itu lebih memerlukan duit.

Bagaimanakah kehidupan selepas berumah tangga sekarang?

Banyak perbezaan sebelum dan selepas berkahwin. Sebelum kahwin saya tidak memasak. Sekarang sudah jadi isteri orang, memang kena belajar memasak. Selain itu, perlu bijak mengatur masa. Kalau ketika belum berkahwin, saya boleh bekerja pada bila-bila masa. Sekarang sudah kahwin, perlu keluar rumah pagi dan pulang sebelum senja. Menyentuh soal memasak, suami saya memang tidak suka makan di luar. Jadi memang wajib masak di rumah.

Apakah masakan anda yang menjadi kegemaran suami?

Saya banyak belajar daripada sebuah akaun Instagram iaitu @yatiekitchen. Suami saya memang tidak makan makanan laut namun dia memang gilakan masakan pedas. Jadi, saya banyak belajar menyediakan juadah yang pedas-pedas.





Maaf bertanya, sudah ada berita gembira yang ingin dikongsikan?

Alhamdulillah, saya sudah hamil. Namun masih awal lagi (sebulan). Suami sudah berusia 36 tahun dan saya pula sudah 29 tahun, jadi ini saat yang sesuai bagi kami untuk mendapatkan anak. Saya tidak kisah soal jantina, yang penting bayi sihat dan sempurna. Suami pun begitu juga.

Ada sebarang alahan luar biasa sepanjang proses kehamilan sekarang?

Syukur tiada buat masa sekarang. Cuma saya mengidam makanan seperti kuih ondeh-ondeh di Jonker Walk, Melaka. Suami saya sibuk dengan latihan dan perlawanan bola sepak. Jadi, kalau mengidam, saya sanggup memandu sendiri ke Jonker Walk.

Anda sudah lama mengacara, tidakkah terlintas hasrat untuk melebarkan kerjaya mungkin bergelar deejay radio?

Saya bukan Fasha Sandha atau Neelofa. Saya sedar di mana kedudukan saya. Sebelum ini ada juga menerima tawaran menjadi deejay radio terkemuka namun saya terpaksa tolak kerana tidak sesuai dengan jadual harian saya. Tambahan pula sekarang saya sudah berkahwin dan tidak lama lagi bakal bergelar ibu. Jadi, saya perlu membahagikan masa dengan baik.

Post a Comment

Previous Post Next Post