Merupakan hasil daripada program realiti nyanyian sama, hubungan dua artis bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Kaer Azami dan Amylea Azizan AF3 yang terjalin lebih sedekad lalu kini semakin utuh dengan kemunculan lagu baharu mereka berjudul Tak Pernah Hilang.
Berpadanan dengan tajuk single duet baharu mereka, kedua-dua anak seni tempatan itu nyata tidak pernah hilang semangat daripada terus menumpahkan rasa cinta terhadap bidang nyanyian.
Haluan minimalis yang menjadi pilihan mereka secara tidak langsung membuatkan kedua-duanya bagai hilang daripada radar industri hiburan tanah air.
Ironinya, mereka sibuk merencana agenda berpaksikan ideologi pengkarya dari Korea Selatan dengan harapan agar dapat mencetuskan fenomena sama di tanah air.
“Di Korea Selatan, sebuah drama rantaian mempunyai sekurang-kurangnya lima atau enam buah runut bunyi. Justeru, single Tak Pernah Hilang ini menjadi lagu pertama untuk drama rantaian Nur.
“Saya ingin mencetuskan corak landskap baharu yang mana sebuah drama rantaian tempatan mempunyai lebih daripada satu runut bunyi,” ujar Amylea saat memperincikan keinginannya.
Drama rantaian Nur sudah mula bersiaran pada Ramadan ini di saluran TV3 dan dibintangi oleh Amyra Rosli serta Syafiq Kyle terbitan Radius One Sdn. Bhd.
Mengulas mengenai keputusan untuk saling bergandingan, Amylea memberitahu, idea tersebut telah lama dirancang. Namun, mereka belum menemui kesempatan yang sesuai sehingga ditawarkan untuk terlibat dalam runut bunyi drama rantaian Nur.
Hampir tiga tahun lagu Tak Pernah Hilang berada di dalam simpanan, kini single ciptaan Farouk Roman dengan sentuhan lirik oleh Amylea sendiri akhirnya berjaya diperdengarkan kepada khalayak.
Dalam pada itu, Amylea turut mengakui berasa selesa bergandingan dengan teman baiknya itu sementelah kedua-duanya mempunyai cita rasa muzik yang sama.
“Keserasian antara kami membuatkan saya tidak mempunyai masalah untuk bekerja bersama terutama menjadi pasangan duet,” tutur Amylea.
Empayar
Sejak kerjaya seninya bermula menerusi program AF3, wanita kelahiran negeri Jelapang Padi itu tidak pernah mengalah mengorak langkah dalam industri seni tanah air.
Seiring dengan peredaran masa, pengalaman lebih 10 tahun menceburi bidang nyanyian menjadikan Amylea enggan mudah berputus asa. Malah, dia menyimpan hasrat besar untuk mempunyai syarikat rakaman di bawah labelnya sendiri.
Mengakui ia bukan satu impian yang mudah untuk direalisasikan, Amylea tetap positif dan menjadikan harapannya itu sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha keras mengejar cita-cita.
Merupakan ahli Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP), Amylea hanya memerlukan empat buah lagu bagi melayakkan dirinya untuk bergelar sebagai seorang penerbit.
“Buat masa sekarang, sebanyak 46 buah lagu telah dihasilkan dan berdaftar di bawah MACP. Oleh itu, saya masih memerlukan empat buah lagi bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 lagu.
“Jumlah tersebut lantas melayakkan saya untuk bergelar penerbit dan secara tidak langsung merealisasikan impian khalayak yang ingin mencuba nasib sebagai penyanyi,” terang Amylea panjang lebar.
Oleh yang demikian, wanita berusia 32 tahun tersebut senang memberi tumpuan untuk mengejar cita-citanya itu sebelum memberi fokus kepada kerjaya solo.
Bukan kerana terlalu obses menyibukkan diri dengan kerjaya belakang tabir tetapi Amylea enggan bersikap tamak dengan melakukan pelbagai perkara dalam satu masa.
Tambahan, dia sendiri menggalas tugas sebagai pemilik sebuah syarikat pengurusan majlis, penulis skrip dan penghasilan lagu, Words & Keys Sdn. Bhd..
“Tidak dinafikan pernah suatu ketika saya cuba untuk melakukan pelbagai perkara dalam satu masa tetapi hasilkan kurang memuaskan.
“Belajar daripada pengalaman terdahulu, saya kini lebih selesa memberi fokus kepada satu kerja bagi memastikan kualiti dihasilkan memuaskan,” tutur kekasih kepada Farouk Flava yang merupakan bekas peserta Gangstarz musim pertama (2007).
Tidak mudah mengalah
Bagi Kaer atau pemilik nama lengkap, Wan Mohammad Khair Wan Azami Hamzah mengakui berasa gentar setelah lebih 10 tahun tidak kembali ke pentas nyanyian.
Bagi yang mengikuti perkembangan pemenang tempat keenam AF2 itu, Kaer melanjutkan pengajian dalam bidang fesyen di Kolej LaSalle, Jakarta sekitar tahun 2006.
Selain itu, pelantun lagu Izinku Pergi tersebut juga sibuk mencipta nama dalam dunia fesyen sementelah mengusahakan dua label pakaian sendiri iaitu Quhji dan Kazama.
Disebabkan kesibukan menguruskan diri dalam ‘timbunan’ kain itu menjadikan Kaer membelakangkan kecenderungannya untuk bergelar penyanyi.
Namun telah lebih 10 tahun berlalu, Kaer akhirnya bersedia untuk kembali ke persada seni muzik tanah air dan menjadikan single Tak Pernah Hilang sebagai pertaruhan awal.
Katanya, lagu duet bersama Amylea itu bukan sekadar dijadikan hadiah buat peminat kerana terus menyokongnya tetapi ia turut menjadi permulaan buat kemunculan semula dalam industri.
“Mungkin kerana kurang aktif dalam bidang nyanyian membuatkan khalayak berpendapat saya tidak lagi mempunyai keinginan untuk menyanyi.
“Meskipun sibuk dengan dunia fesyen tetapi saya tetap mempunyai semangat untuk kembali ‘bernafas’ dalam industri muzik tanah air.
“Dorongan peminat yang tidak henti dengan harapan agar saya segera kembali aktif lantas menjadi pembakar semangat. Ia turut membuatkan saya tidak mudah mengalah selain berasa terharu terhadap sokongan mereka itu,” ujar jejaka berusia 32 tahun itu.
Dalam pada itu, Kaer memberitahu, selepas Tak Pernah Hilang, dia bakal muncul dengan single solo baharunya.
Masih merahsiakan perkara tersebut, Kaer bagaimanapun mengakui single baharunya kelak akan memiliki genre berbeza berbanding lagu yang pernah dinyanyikan sebelum ini.
Hubungan akrab dua sahabat baik antara Amylea Azizan dan Kaer Azami menjadi kedua-dua mudah untuk menjalin kerjasama lantas menghasilkan single duet bersama berjudul Tak Pernah Hilang. Pada masa sama, lagu tersebut juga diangkat sebagai runut bunyi drama rantaian sempena bulan Ramadan, Nur di TV3.