Pelawak Vicha Saywho menafikan kenyataan segelintir pihak yang mendakwa dia menjalani pembedahan bagi membuang lemak dalam badan untuk kurus.
Sebaliknya artis dari Indonesia yang bernama sebenar Revika Novianti Faturohman, 30, berkata, dia menjalani pembedahan yang dinamakan 'gastric bypass' untuk menjaga kesihatan selepas mendapatkan nasihat doktor.
"Kira-kira tiga bulan lalu, saya buat ujian gula dalam darah di sebuah hospital swasta dan sangat terkejut apabila mendapati kadar bacaannya sangat tinggi iaitu 20.
"Saya kemudian disarankan untuk buat ujian lengkap seluruh badan dan disuruh berpuasa.
Hasil daripada ujian ini mendapati kadar bacaan gula dalam darah ialah 15 dan dikira masih tinggi.
"Seterusnya saya menjadi takut kerana perkara ini bukanlah normal. Saya kemudiannya diperkenalkan dengan seorang doktor pakar dan selepas berbincang disaran ambil ubat selama tiga bulan," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Vicha, ubat ini juga gagal memberi kesan terhadap masalahnya kerana bacaan gula dalam darah masih dalam lingkungan sembilan dan paling rendah pun tujuh, itupun jika dia berpuasa.
"Ia masih tinggi dan selepas berbincang lagi, saya dicadangkan buat 'gastric bypass' bertujuan mengecilkan usus untuk mengurangkan jumlah makanan yang diambil.
"Selain itu pembedahan ini boleh mengurangkan masalah bacaan gula dalam darah dan menjadikan keadaannya kembali normal.
"Bukan itu saja, menerusi pembedahan ini juga, masalah kolesterol tinggi boleh kembali normal. Selepas berfikir, saya bersetuju buat pembedahan ini daripada membiarkan masalah ini berlarutan," katanya yang menjalani pembedahan di sebuah hospital swasta di Ampang pada 30 Mac lalu.
Tambah Vicha, kadar gula yang tinggi dalam darah ini menimbulkan banyak masalah terhadapnya sehingga menjejaskan kariernya.
"Kadangkala ketika berdiri atau buat penggambaran, saya akan rasa sakit kepala yang kuat. Saya juga ada masalah gastrik yang serius dan setiap minggu kena ambil suntikan di bahagian belakang badan. Pembedahan ini cara terbaik untuk kurangkan semua masalah yang ada.
"Lagipun, saya akan mula terbabit dengan penggambaran drama bersiri yang akan makan masa sekitar dua hingga tiga bulan. Jadi ada baiknya saya buat pembedahan sekarang.
"Saya buat bukan untuk kurus tetapi untuk jaga kesihatan. Saya tak kisah dengan persepsi orang kerana hanya saya tahu masalah dihadapi.
"Banyak pihak fikir saya buat untuk kurus atau kelihatan cantik tanpa tahu apa sebenarnya terjadi pada saya. Mungkin ada yang ingat saya gemuk tetapi sihat namun orang gemuk pasti ada penyakit dan tidak mungkin bebas dari penyakit," katanya yang dibenarkan keluar wad, petang tadi.