Siri jelajah Doa Buat Kekasih Ramli Sarip & Khadijah Ibrahim


Sudah 30 tahun duet malar segar, Doa Buat Kekasih dendangan Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim menjadi lagu kegemaran peminat muzik tempatan. Impak daripada aura keasyikan lagu tersebut juga telah mencetuskan idea penganjuran konsert jelajah yang diberi judul Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 melibatkan Ramli Sarip dan Khadijah Ibrahim sendiri.

Konsert jelajah anjuran Rasa Karya Sdn. Bhd. itu akan diadakan di sembilan buah lokasi termasuk di Singapura.

Setakat ini, tiga lokasi konsert yang sudah disahkan adalah Pusat Konvensyen Persada Johor (7 September), Istana Budaya Kuala Lumpur (6 Oktober) dan Dewan Konsert, Esplanade Singapura (17 Oktober).

Lokasi-lokasi lain yang belum ditetapkan tarikh adalah seperti Kuantan (Pahang), Kuala Terengganu (Terengganu), Melaka, Kuching (Sarawak), Kota Kinabalu (Sabah) dan Alor Setar (Kedah).

Teruja dengan penganjuran konsert berkenaan, Ramli yakin, penyatuan bersama rakan duet paling idealnya, Khadijah itu tetap berbisa dan masih mampu menghimpunkan kelompok peminat tersendiri.

“Lagu Doa Buat Kekasih meninggalkan satu kesan amat mendalam bukan sahaja terhadap diri saya, malah Khadijah. Sampai sekarang, kami masih seronok menyanyi bersama dan saya, beruntung kerana mempunyai sejarah merakamkan lagu dengan penyanyi yang hebat.

“Para peminat yang sezaman dengan kami pasti sudah tidak lagi muda. Bagaimanapun, lagu-lagu kami masih boleh dinyanyikan dengan baik oleh pelbagai lapisan usia dan masyarakat.

“Hal ini terbukti apabila melakukan persembahan, memang ramai yang turut menyanyi,” kata Ramli.





Persembahan

Ditanya mengenai bentuk persembahan pada konsert itu nanti, Ramli mendedahkan akan ada segmen duet dan solo untuk dirinya dan Khadijah.

“Ada masa empat bulan lagi sebelum persembahan pertama diadakan iaitu di Johor Bahru. Banyak lagu dalam album yang terpendam (tidak menjadi hits) tetapi mempunyai karakter penting buat saya dan Khadijah.

“Pastinya akan ada perubahan susunan lagu, namun kami perlu kekalkan keaslian. Barangkali Doa Buat Kekasih akan dipersembahkan dalam dua versi. Ingin juga memasukkan ‘hon section’ untuk beberapa lagu. Versi akustik juga akan disuntik,” ujar Ramli lagi.

Sementara itu, ketika dilayangkan persoalan berkenaan pengalaman merakamkan lagu Doa Buat Kekasih bersama penyanyi yang diberi jolokan Papa Rock itu, Khatijah mendedahkan, rakan duetnya tersebut seorang yang ‘sukar’ untuk memberi kerjasama.

“Bukan senang rakam lagu dalam studio bersama Ramli. Kami selalu bergaduh kerana dia selalu lupa yang dia sepatutnya berduet dengan saya (ketawa).

“Seperkara lagi, kalau rakam lagu dengan dia, studio itu sudah macam tempat berkelah. Banyak sangat makanan. Bila ingat kembali, betapa pantas masa berlalu dan lagu ini sudah berusia 30 tahun. Itu satu tempoh yang amat panjang buat kami berdua,” jelas Khadijah.

Tiket-tiket Doa Buat Kekasih 30th Anniversary Tour 2018 di Istana Budaya pada 6 Oktober telah pun dijual pada harga RM400, RM350, RM250, RM200, RM150 dan RM100 melalui www.ilassoyickeys.com.

Post a Comment

Previous Post Next Post