Shahrul Ezad tak layan artis minta bayaran tinggi langit
Pengarah Shahrulezad Mohameddin menegaskan dia tidak bertolak ansur terhadap mana-mana pelakon yang meletakkan harga lebih tinggi daripada pendapatan yang diperolehinya sebagai seorang pengarah menerusi sesebuah drama.
Pengarah drama Monalisa ini berkata, dia tidak memerlukan artis popular dalam menjayakan sebuah drama, sebaliknya mampu memberi publisiti dan populariti kepada seseorang artis.
“Terus terang cakap, mana-mana pelakon utama dalam drama saya, macam mana popular sekalipun kalau harga dia melampau melangit lebih tinggi saya tidak layan.
Status Shahruezad yang dimuat naik pada Selasa.
“Contohnya kalau ada mana mana artis yang mahu satu episod sampai RM8,000 saya pastikan harga saya lebih tinggi dari itu. Sebagai pengarah yang sudah berpengalaman saya perlu jaga ego saya,” ujarnya.
Shahrul memberi pendapat tersebut dan bersetuju dengan status laman sosial pelakon dan pengarah veteran Fauziah Nawi yang tidak tidak bersetuju bayaran diterima pelakon utama lebih tinggi daripada pengarah.
“Minta ampun, minta maaf, saya tidak boleh hadam pelakon utama gaji lebih tinggi dari pengarah yang kerja setengah mati. Sedih dengan perkembangan industri seni negara,” ujar Fauziah.
Barisan pelakon Monalisa.
Sementara itu, Shahrulezad menambah, stesen televisyen perlu membuat pilihan bijak sama ada mahu memilih pengarah atau pelakon bagi mendapatkan rating drama mereka.
“Antara artis dan pengarah mana lagi penting? Kalau rasa memenuhi permintaan pelakon lebih penting, pergilah dapatkan mereka dan ambil budak lepasan SPM jadi pengarah.
"Kenapa saya perlu bayar untuk anda jadi lebih popular dan saya tidak dapat apa-apa?” ujarnya yang turut menyindir stesen TV.
Dalam pada itu, dia juga berkata sering berhadapan dengan pengurus artis yang meminta untuk mengambil artis jagaan mereka dengan tujuan mendapat populariti.
"Minta maaf jika status ini dianggap riyak, tapi saya tidak bertolerasi dengan pengurusan yang meletakkan harga artis mereka terlalu tinggi. Tapi dalam masa yang sama dengan selamba mahu pelakon mereka berlakon di bawah bimbingan saya," ujarnya.