Nina Iskandar Lebih puas bawa watak berat


Sejak mula diberi peluang membawa watak berat menerusi drama Lari Mira pada 2015, Nina Iskandar, 27, tidak menoleh ke belakang lagi.

Pelakon kelahiran Brunei Darussalam ini akhirnya menemui keselesaan tersendiri dalam lakonan.

“Peminat mula meyakini bakat saya melalui drama itu dan penerimaan mereka lebih menyerlah sejak drama Andainya Takdir tahun lalu.

“Bagi saya, watak berat lebih mencabar dan ia peluang untuk saya membawa lebih banyak watak seperti itu,” katanya.

Nina akui, membawa watak berat sebenarnya memberi lebih kepuasan. Namun, tidak bermakna watak ringan itu sesuatu yang membosankan kerana apresiasinya kepada kepelbagaian watak tetap seiring.

Sesekali dia menganggap watak ringan dan komedi perlu juga dilakonkan sebagai ‘pelepas lelah’ selepas sekian lama membawa watak berat dalam drama.

“Saya gembira dengan cara sekarang, tak naik terlalu cepat tetapi perlahan-lahan mengemudi ke arah yang saya inginkan.

“Namun, saya agak sedih dengan bakat baru yang lebih kepada mencipta atau terpalit kontroversi untuk dikenali,” katanya.

Luahannya itu bersandarkan pengalaman lalu yang pernah dilalui apabila dia pernah terpalit kontroversi putus tunang. Namun, ia banyak mengajarnya untuk menjadi lebih matang.

Disebabkan sudah lali dengan isu berkaitan, Nina nekad memasang niat untuk memperbaiki segala kelemahan dalam lakonan dan pengurusan diri.

Berkat kesabaran selama lima tahun bergelar anak seni di Malaysia, Nina boleh menarik nafas lega kerana tawaran berlakon terus diterima hingga hari ini.

Selain baru selesai penggambaran drama Andainya Takdir 2, dia juga bakal memasuki lokasi penggambaran drama slot Akasia berjudul Cinta Bukan Kristal bersama Ayda Jebat.





“Bekerja buat saya gembira dan saya hanya ikut laluan yang sudah ditetapkan Allah buat saya sama ada bab cinta atau kerjaya. Tapi masa ini, fokus saya hanya pada kerjaya,” katanya.

Bercerita mengenai Andainya Takdir 2, Nina menyifatkannya sebagai tanggungjawab yang perlu dilunaskan selepas kejayaan Andainya Takdir yang pernah mencatat rating lebih 10 juta penonton tahun lalu.

Nina berkata, wataknya sebagai Fatihah dalam drama ini memerlukan dia bermain perasaan yang lebih mendalam.

Dia menyifatkan Fatihah kali ini lebih ‘chill’ dalam membesarkan anaknya, Aleya lakonan Putri Balqis.

Andainya Takdir 2 masih mengekalkan beberapa pelakon asal antaranya Shukri Yahaya, Sheila Mambo dan Adiba Yunus.

Dalam pada itu, Nina turut dicalonkan dalam kategori Aktres Wanita Pilihan di Drama Festival Kuala Lumpur 2018.

Nina berkata, dia terharu apabila diberi peluang itu sekali lagi selepas dicalonkan untuk kategori sama dalam Anugerah Skrin (ASK) tahun lalu.

“Saya bersyukur tetapi tidak mahu letak harapan sangat.

Tahun lalu pun tercalon tetapi tak menang, jadi lebih baik saya terima apa saja keputusan dengan hati terbuka,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post