Lisa Aryanti Isu selebriti dalam jangan cuba


Bergelar Datin Seri dan ibu kepada dua anak berusia 11 dan empat tahun, tidak pernah menghalang Datin Seri Lisa Aryanti, 42, untuk menggapai impian menghasilkan single sendiri.

Malah, beliau menyifatkan pengorbanan lebih sedekad kerana memberi tumpuan kepada keluarga dan bisnes akhirnya terbalas melalui single ini.

“Saya mula menyanyi pada usia 19 tahun bersama Kombo Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kemudian saya ambil peluang menyanyi di hotel sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

“Selepas itu saya tinggalkan dunia nyanyian untuk berkahwin dan dikurniakan anak. Ia satu proses yang cukup bahagia,” katanya.

Beliau akui selama itu juga proses ‘melayan’ hobi nyanyian hanya bersama keluarga dan rakan di pusat karaoke dan di rumah sahaja.

Hanya pada tahun lalu sahaja, suaminya, Datuk Seri Raja Firdaus Raja Zainal, akhirnya memberi ‘lampu hijau’ untuk dia menggapai impian memiliki single sendiri.

Malah suami Lisa turut bertindak sebagai produser untuk single sulung itu.

Kata Lisa, tanpa restu suami, pastinya single pertama berjudul Jangan Cuba ini tidak dapat dikeluarkan dengan sempurna.

“Sebenarnya, suami yang menggalakkan saya kembali menyanyi kerana dia tahu minat saya. Anak-anak juga beri sokongan lantas memberi kekuatan buat saya meneruskan projek ini.

“Bagi saya, usia hanya sekadar nombor dan ia bukan penghalang untuk sesiapa sahaja mahu mencapai impian mereka,” katanya optimis.





Katanya, sesuatu impian itu pastinya lebih manis andai mendapat restu daripada keluarga yang pastinya lebih tahu sisi peribadi insan kesayangan mereka.

Bercakap pasal lagu Jangan Cuba, ia secara kebetulan berkaitan dengan isu panas yang sedang melanda dunia selebriti ketika ini.

Tegasnya, lagu ciptaan bersama Rudy Nastia itu lebih bersifat perkongsian atau pesanan kepada masyarakat agar tidak ‘cuba’ menjadi perampas kekasih, suami atau isteri sesiapa.

“Lagu ini hanya ‘pesanan khidmat masyarakat’ sahaja. Tidak ada berkaitan dengan kehidupan saya pun!” katanya ketawa tatkala ditembak apakah lagu ini berkaitan dengan pengalaman sendiri.

Katanya, lagu berentak pop rock ini dihasilkan untuk memberi pendengar sesuatu karya yang bukan saja ringan tetapi juga ‘catchy’.

Tanpa berselindung, beliau turut menjadikan selebriti antarabangsa, Jennifer Lopez (JLo) sebagai idola dek pencapaian, kelincahan dan aktifnya penyanyi itu tatkala membuat persembahan biarpun usianya hampir mencecah 50 tahun.

“JLo tetap lincah menyanyikan lagu rancak. Malah bentuk tubuhnya kekal cantik kerana sering mengamalkan diet dan senaman.

“Dia turut mendapat perhatian peminat melalui lakonan berkesan dan mantap,” katanya yang juga meminati penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Dek itu juga, Lisa tidak menolak andai ada peluang mengembangkan bakat sebagai pelakon satu hari nanti.

Mengulas projek baru, Lisa kini dalam proses menyiapkan single kedua untuk memastikan kelangsungan kariernya.

Bagi merancakkan single Jangan Cuba, Lisa menganjurkan pertandingan melakukan parodi lagu terbabit dan pendengar yang terpilih sebagai juara akan memenangi wang tunai.

Post a Comment

Previous Post Next Post