Kaer Azami dan Amylea Azizan, dua penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) yang masing-masing menyepikan diri lebih sedekad, muncul bergabung buat pertama kali untuk lagu duet ‘Tak Pernah Hilang’.
Lagu bergenre pop balada yang dirakam Januari lepas dalam bentuk digital itu telah ditonton lebih 66,000 kali walaupun baru dua hari dimuat naik ke laman YouTube.
Amylea yang merupakan penulis lirik lagu itu, berkata lagu tersebut akan turut menjadi lagu runut bunyi drama 'Nur' lakonan Fatimah Abu Bakar, Amyra Rosli dan Shafiq Kyle yang bakal disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 pada Ramadan ini.
Katanya lagu itu digubah pada 2015 dan mengisahkan dua insan yang tidak meluahkan perasaan cinta terhadap satu sama lain.
“Dalam konteks kami ia lebih kepada bidang nyanyian... walau di mana kami berada kami tidak pernah melupakan bidang muzik dan perasaan itu memang tidak pudar," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan temu bual Nine11 terbitan Bernama News Channel.
Katanya beliau selama ini banyak menulis lagu untuk drama dan artis lain antaranya Alif Satar.
"Ramai yang tanya saya bila hendak menyanyikan lagu sendiri. Ia bukan mudah sebab adakala lagu yang dicipta itu lebih sesuai untuk artis lain dan bukan untuk saya. Mungkin masanya telah tiba, barulah saya muncul dengan lagu ini,” katanya yang telah menghasilkan lebih 17 lagu runut bunyi setakat ini.
Menurut Amylea beliau agak gementar untuk membuat persembahan selepas sekian lama aktif di belakang tabir.
”Kami tidak kisah untuk merangkak semula dalam bidang seni. Pada kami tidak ada perkataan bersaing, kami nak bekerjasama dengan artis lain untuk sama-sama maju dalam industri," katanya.
Sementara itu, Kaer berkata lagu tersebut merupakan langkah pertamanya untuk memulakan kembali kerjaya nyanyian selepas banyak menghabiskan masa di Jakarta menguruskan perniagaan pakaian lelaki selepas meninggalkan program AF.
Mengakui timbul keraguan akan kemampuannya untuk menyanyi semula selepas lama tidak berbuat demikian, Kaer berkata hatinya membisikkan keyakinan untuk beliau meneruskan hasrat itu.
“… akhirnya siap rakaman lagu ini. Memang permulaan yang baik bagi kami berdua," katanya yang merancang untuk membuka butik pakaian lelakinya di Malaysia kelak.