Henry Golding Bangga bawa Asia Tenggara ke Hollywood


Pelakon Henry Golding mengakui sangat bangga dapat mewakili warga Asia Tenggara dan masih bermimpi membintangi watak utama filem Hollywood berjudul Crazy Rich Asians.

Henry, 31, berharap karya arahan Jon M Chu yang bakal ditayangkan pada Ogos nanti berkenaan mendapat sokongan baik peminat di Malaysia, Singapura atau seluruh dunia dengan berkongsi ‘trailer’ filem itu.

“Saya mahu berterima kasih kepada semua yang kongsikan ‘trailer’ itu. Kami sudah memberikan usaha terbaik dan hasil kerja Jon memang mengagumkan.

“Sekarang masanya buat kamu semua untuk sebarkan mengenainya sebab inilah masanya untuk kita bersinar dan mewakili warga Asia Tenggara.

“Saya tidak dapat gambarkan betapa seronoknya perasaan terhadap pencapaian kita setakat ini. Sekarang terpulang pada kamu untuk mewar-warkan kepada ramai bahawa filem ini adalah untuk semua.

“Saya tidak sabar untuk kongsikan perjalanan indah ini terutama buat peminat yang menyokong sejak saya memulakan karier di Malaysia kemudian ke Singapura. Ia pastinya akan menjadi perjalanan yang panjang,” katanya.





Pelakon kacukan Iban-British dari Sarawak itu mencipta pencapaian membanggakan apabila diberi kepercayaan memegang watak utama melakonkan Nick Young dalam Crazy Rich Asians.

Henry turut digandingkan dengan pelakon Amerika Syarikat (AS), Constance Wu.

Turut membintangi filem itu aktres kebanggaan Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, Awkwafina, Sonoya Mizuno, Jimmy O Yang, Gemma Chan, Kris Aquino, Nico Santos, Ronny Chieng, Remy Hii, ramai lagi.

Filem berkenaan adalah adaptasi novel tulisan Kevin Kwan yang turut menggunakan judul sama.

Crazy Rich Asians turut menerima perhatian luar biasa apabila menjadi antara filem Hollywood dibintangi warga Asia untuk hampir keseluruhan watak utamanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post